Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Dollah Salleh Mahu Kekalkan Momentum Kemenangan Di Ipoh

Pengendali Pahang, Dollah Salleh menegaskan walaupun skuadnya telah mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2019, tiada rombakan besar-besaran bakal berlaku menjelang aksi kelima Kumpulan C menentang Perak di Ipoh, pada Sabtu.

Mungkin peristiwa pernah dikejutkan Selangor dalam perlawanan ke-18 Liga Super yang lalu telah memberikan pengajaran kepada beliau betapa rombakan besar-besaran boleh memakan diri seterusnya menggangu rentak dan momentum pasukan.

Merombak 100 peratus pasukan, Tok Gajah akhirnya tewas kepada Gergasi Merah dengan keputusan 2-5, terlepas perebutan bersama JDT untuk kejuaraan liga seterusnya tewas 0-3 kepada Perak di separuh akhir Piala FA – segalanya musnah selepas satu rombakan.

Pengendali berpengalaman itu menjelaskan kepada Berita Harian yang fokusnya kini adalah untuk mengekalkan momentum kemenangan dan tidak mengambil mudah aksi bertemu Perak.

“Misi di Ipoh adalah mengekalkan momentum kemenangan dan diharapkan segalanya menjadi,” memetik kenyataannya itu.

Selain itu, Dollah Salleh juga masih mempertimbangkan mengenai pemain-pemain yang terlibat dengan tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan iaitu Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih dan Norshahrul Idlan Talaha termasuk pemain sayap, Saddil Ramdani yang beraksi untuk Indonesia.

“Skuad Pahang hanya akan bertemu empat pemain ini di Ipoh dan saya akan menilai prestasi mereka sama ada boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama atau tidak.

“Keputusan itu bergantung kepada prestasi selepas mereka mengharungi dua perlawanan bertemu Indonesia dan UAE,” jelasnya mengenai status empat pemain Harimau Malaya untuk aksi menentang Perak selepas ini.

“Walaupun Pahang sudah mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia, saya tetap mahukan keputusan positif apabila bertemu Perak.” tambahnya lagi mengenai aksi menentang The Bos Gaurus.

Begitu juga dengan Saddil Ramdani yang dimaklumkan sudah berada di Kuantan sejak malam semalam dan tahap kecergasan pemain muda itu juga bakal diambil kira terlebih dahulu.

Pahang sudah mengesahkan slot ke suku akhir selepas mengutip 12 mata, meletakkan satu slot lagi menjadi rebutan antara Perak mengumpul 5 mata terikat dengan Pulau Pinang (5 mata) dan Sabah yang belum mengutip sebarang mata lagi setakat ini.

Kredit Featured Image: Pahang FA