Adnan Januzaj antara nama yang pernah hangat di pasaran pada satu ketika dahulu. Selepas itu nama beliau agak tenggelam. Dalam Piala Dunia kali ini ramai juga mempertikaikan Roberto Martinez yang membawa beliau ke dalam pasukan.
Namun hari ini, Januzaj akhirnya meledak gol di pentas Piala Dunia dengan teknik yang sangat baik.
Kedua-dua pasukan menggilirkan pemain untuk perlawanan ini kerana kedua-duanya sudah pun mara. Tielemans melakukan percubaan deras yang memaksa Pickford melakukan aksi menyelamat pada minit ke-6.
Minit ke-10, Belgium hampir di hadapan selepas pergelutan di hadapan gol England namun bola masih tidak melepasi garisan. Batshuayi seakan-akan tidak cukup percaya dengan teknologi garisan gol dengan berterusan meminta pengadil memberikan gol.
Separuh masa pertama boleh dikatakan kedua-dua pasukan beraksi hambar dengan mode perlawanan persahabatan. Mereka beraksi dengan intensiti sangat sederhana.
Pada separuh masa kedua, Adnan Januzaj meletakkan Belgium di hadapan dengan gol deras selepas memintas masuk mengatasi Danny Rose pada minit ke-51.
Gol itu menghidupkan sedikit tempo perlawanan ini selepas aksi separuh masa pertama yang membuatkan ramai mengantuk.
Tidak lama selepas itu Marcus Rashford hampir menyamakan kedudukan dalam keadaan 1 lawan 1 namun berjaya ditepis Courtois.
Pada minit ke-74, kapten pasukan, Vincent Kompany akhirnya membuat penampilan debut beliau dalam Piala Dunia 2018 selepas bergelut untuk cergas sepenuhnya sebelum Piala Dunia bermula.
Rashford melakukan sepakan percuma yang deras namun sedikit liar.
Minit ke-88, Mertens dan Thorgan Hazard melakukan percubaan bahaya ke arah pintu gol England. Fellaini kemudian melakukan percubaan ke sisi jaring. Perlawanan tamat Belgium menang 1-0.
Kemenangan ini membolehkan Belgium menjuarai kumpulan G dan England di tangga ke-2. Belgium akan menentang Jepun dan England akan menentang Colombia pada pusingan ke-2.