Adil Rami: Masalahnya Saya Suka Makan

Adil Rami

Pemain pertahanan kelahiran Perancis, Adil Rami mengakui gaya hidup kurang sihat yang diamalkan telah membantutkan peluangnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan manis  dalam karier profesionalnya.

Rami, 34 tahun, pernah mengecap nikmat selaku pemenang Piala Dunia 2018 selepas beliau turut menganggotai skuad yang dibimbing oleh Didier Deschamps itu meskipun tidak membuat sebarang penampilan.

Di peringkat kelab pula, beliau boleh dikategorikan sebagai pemain ‘nomad’ apabila sudah mewakili lapan pasukan sejak karier profesionalnya bermula pada musim 2003/04.

Melihatkan kepada perkara tersebut, Rami mengakui kehidupan di luar padangnya telah mempengaruhi prestasi serta menghalangnya untuk berkembang menjadi pemain yang lebih baik.

”Saya boleh menikmati karier yang lebih baik sekiranya saya lebih mengamalkan cara hidup yang lebih baik,” ujar Rami menurut laporan Goal.

”Saya terlalu banyak keluar malam, melayani ramai perempuan dan tidak memberikan fokus terhadap berat badan saya.”

”Masalah utama saya juga adalah berkaitan makanan. Saya sangat suka makan.”

”Ia sesuatu yang memalukan kerana sekiranya saya berada dalam tahap fizikal 100 peratus terbaik, tiada penyerang di dunia ini mampu untuk menakutkan saya.”

Selepas beraksi bersama Fenerbahce pada musim lalu, Rami telah berkelana ke Portugal untuk menyertai Boavista dan beliau telah membuat dua penampilan dalam tiga perlawanan yang sudah diharungi kelab Primeira Liga itu.

Ternyata kisah dilalui oleh Adil Rami ini perlu menjadi iktibar kepada semua pemain kerana soal disiplin di luar padang merupakan antara aspek terbesar yang perlu dititikberatkan oleh semua.

Kredit featured image: Xavier Laine/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan bola sepak terkini:

Diogo Jota: Hari Tanpa Cristiano Ronaldo Hari Terbaik Saya

 

Kaka: Andrea Pirlo Faham Bola Sepak, Bakal Jadi Pengurus Yang Unik

 

 

 

UNL 2020: Kad Merah Maguire, Reece James Warnai Kekalahan England

Leave a Reply