Pasukan kedua tertua di Liga Malaysia (Liga M), yang tertubuh sejak 1921, Pulau Pinang, kini mungkin dalam krisis terburuk sepanjang penglibatan mereka dalam arena bola sepak tempatan.
Walaupun pernah menghadapi krisis kewangan yang teruk sekitar musim 2007 sehingga 2012, pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kini ‘ditampar’ lagi dengan pelbagai isu.
Pernah terhumban ke hierarki terbawah Liga M iaitu kejohanan Piala FAM pada musim 2012, Pulau Pinang sudah merasai perit jerih untuk kembali semula ke saingan utama Liga M.
Kini Pulau Pinang kembali dirundung pelbagai isu antaranya masalah gaji musim lalu yang tertunggak, perletakan jawatan pengurusan FAP, ketiadaan penajaan, didenda dan sebagainya.
Apakah ada jalan penyelesaian berkaitan isu seperti ini?
Tarik diri dari Liga M
Belum ada pasukan berstatus negeri yang menarik diri sehingga kini. Walaupun Kelantan dan Terengganu pernah mengugut ingin menarik diri, namun ianya tidak pernah direalisasikan.
Mengikut analisa yang telah dibuat oleh penganalisis bebas Liga M, Zuraimi Zukri, sejak 1996, sebanyak 26 dari 57 pasukan yang pernah terlibat di liga utama dan kedua telah menarik diri.
Ianya hampir 46% daripada jumlah pasukan yang pernah bertanding di dua liga utama negara. Kesemuanya adalah pasukan berstatus kelab dan bukannya pasukan negeri.
Pada hemat penulis, tiada salahnya jika pengurusan FAP mula mempertimbangkan untuk menarik diri ‘sementara’ daripada bersaing dalam Liga M, buat masa sekarang.
Sepatutnya sebelum liga bermula, Pulau Pinang telah mengambil langkah ini. Mungkin sekarang ianya sedikit terlewat, namun, FAP perlu memandang serius perkara ini.
Ini kerana, beban hutang dan kos yang ditanggung pastinya besar dan tanpa penajaan serta sumber kewangan yang baik, bagaimana Pulau Pinang mahu terus relevan untuk bersaing?
Terlampau drastik? Rasanya ini sahaja jalan yang ada buat Pulau Pinang yang terus ditekan dari pelbagai sudut dan kini bekas-bekas pemain pula mula meluahkan kekecewaan mereka.
Bekas pemain mula bersuara
Terbaharu, bekas pemain dan kapten, Rafiuddin Roddin bersuara mengenai isu gaji tertunggak musim lalu. Bercakap kepada Berita Harian, Rafiuddin meluahkan kekecewaannya.
“Saya kesian kat depa tapi rasanya saya dah bagi cukup masa,” ujar pemain pertahanan itu yang kini beraksi bersama pasukan Perak di unifi Liga Super 2018.
Sebelum itu, penyerang PKNS FC, Jafri Firdaus Chew juga dilihat menagih janji FAP mengenai gaji tertunggaknya. Menurutnya menerusi Berita Harian, FAP terus menyepikan diri ketika ini.
“Namun, selepas sekian lama menunggu, tidak ada tindakan positif diambil persatuan itu untuk menyelesaikannya.
“Malah, FAP seolah-olah menyepi bila langsung tidak menghubungi saya untuk berbincang,” ujar pemain yang pernah beraksi di Pulau Pinang pada musim 2016 dan 2017.
Sebelum liga bermula, FAP telah berdepan isu ini dari bekas pertahanan import mereka, Reinaldo Lobo yang telah membawa perkara ini ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Rasional tarik diri?
Mungkin ada sesetengah pembaca dan penyokong merasakan tindakan tarik diri ini tidak wajar dibuat. Namun, melihat keadaan Harimau Kumbang kini, apa lagi pilihan yang ada?
Teruskan cari penaja? Minta bantuan kerajaan negeri? Pihak pengurusan FAP telah membuat pelbagai kaedah dan cara untuk mendapatkan penajaan, namun ianya tampak buntu.
Para penyokong juga dilihat cuba membantu FAP menyelesaikan kemelut ini apabila mula membuat kutipan sumbangan ketika Pulau Pinang menentang PDRM di Stadium Shah Alam.
Menurut laporan Sinar Harian, hasil kutipan akan dikumpulkan sehingga perlawanan ke-4 100Plus Liga Premier pada 9 Mac iaitu ketika perlawanan menentang JDT II di Batu Kawan.
Berita Harian pada Disember 2017 pernah melaporkan bahawa pasukan Liga Premier memerlukan dana sehingga RM12 juta dan ke atas untuk membentuk skuad yang baik.
Tanpa sumber kewangan yang kukuh, mampukah FAP menguruskan skuad dengan baik dari pelbagai sudut bermula dengan gaji sehinggalah kepada membayar sewa padang latihan?
Dua minggu lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah tampil membantu untuk menyelesaikan masalah gaji tertunggak, namun sejauh mana ianya dapat menyelesaikan kemelut ini?
Jika ianya telah diperolehi, pastinya isu gaji tertunggak pemain-pemain pada musim lalu akan dilangsaikan dengan segera. FAP sudah boleh ‘tutup buku’ berkenaan isu tersebut.
Minggu lalu, terdapat pula khabar angin menyatakan Presiden baharu FAP, Datuk Tahir Jalaluddin Hussain telah meletakkan jawatan. Sehingga kini, FAP memilih untuk mendiamkan diri.
Sebelum ini, FAP telah kehilangan beberapa tunjang pengurusan pasukan atas sebab-sebab tertentu, dan kehadiran Tahir Jalaluddin dilihat mampu mengukuhkan kembali pasukan.
Harimau Kumbang kini seakan-akan sudah jatuh ditimpa tangga. Kemelut berterusan tanpa ada jalan penyelesaian. Menurut laporan Berita Harian, tunggakan gaji FAP kini dianggarkan RM3 juta.
Adakah penarikan diri sesuatu yang luar dari kebiasaan
Ianya bukan sesuatu yang luar dari kebiasaan untuk liga di negara lain. Terdapat juga kelab di liga negara lain menarik diri atas sebab-sebab yang tertentu.
Namun untuk situasi pasukan berstatus negeri di Liga M, ia suatu yang di luar norma jika Pulau Pinang mengambil keputusan untuk menarik diri dari menyertai liga.
Bulan lalu, sebuah kelab dari Liga Super Greece (Greek Super League), Veria FC telah menarik diri dari liga disebabkan krisis kewangan yang teruk.
Menurut laporan Agona Sport, Veria FC kini dalam persediaan untuk menyertai liga amatur (divisyen tiga). Semua pemain telah dilepaskan dan kini dalam proses mencari kelab baharu.
Tahun lalu, di Thailand, kelab Big Bang Chula United FC yang beraksi di Thai League 2, telah mengumumkan pembubaran kelab akibat kekurangan dana selepas telah beraksi 12 perlawanan.
Dan atas tindakan itu, Big Bang Chula United FC telah didenda larangan beraksi untuk tempoh 2 tahun dan diturunkan pangkat ke Thai League 4, jika mahu kembali selepas ini.
Di Filipina pula, Januari yang lalu, sebuah kelab gergasi Liga Bola Sepak Filipina (PFL), Meralco Manila telah membubarkan kelab, juga atas faktor kewangan.
Meralco Manila menjuarai aksi sulung PFL dan antara empat pasukan terbaik dalam aksi Final Series. Namun ia tidak membantu kelab tersebut untuk terus bertahan.
Itu adalah sebahagian kelab-kelab yang telah menarik diri atau dibubarkan di liga negara lain. Dan faktor kewangan adalah perkara utama menjadi sebab kepada ‘kehilangan’ mereka.
Dasar ‘tutup pintu’?
Perlukah FAP mengambil langkah untuk menutup ‘sementara’ pintunya untuk bersaing di Liga M dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengurusan Liga FAP?
‘Sementara’ di sini dalam erti kata untuk satu tempoh masa yang dirasakan bersesuaian. Ataupun ‘sementara’ itu boleh dikatakan sehingga segalanya kembali stabil.
FAP perlu membaik pulih segala masalah dan kemelut dalaman yang ada dalam pengurusan pasukan dan kewangan adalah agenda utama yang perlu diambil perhatian.
Selepas segala tunggakan diselesaikan, penulis mencadangkan agar FAP memberi fokus untuk mengukuhkan Liga FAP dan juga liga-liga yang terdapat di dalam Pulau Pinang.
Dalam pada masa yang sama, FAP akan menjadi ‘FAM’ kepada kelab-kelab yang bersaing di Liga FAP. Dengan tidak menyertai liga utama, FAP boleh memberi fokus kepada perkara ini.
Dana dan penajaan mungkin akan lebih mudah untuk diperolehi kerana ia akan menyumbang kepada liga peringkat negeri. Syarikat-syarikat tempatan mungkin lebih berminat.
Bermodalkan penajaan untuk membolehkan liga berlangsung, FAP mungkin boleh menggesa kelab-kelab di dalam liga tempatan mereka untuk mengukuhkan status kelab.
Melihatkan kelab-kelab seperti Shah Alam Antlers FC, Terengganu City FC dan Subang City FC hadir dengan aura baharu, mungkin FAP perlu menyuntik idea itu kepada kelab-kelab di sana.
FAP boleh membantu kelab-kelab tersebut untuk menjadi antara kelab yang kukuh dan dengan format baharu Liga M yang FAM akan perkenalkan, mungkin ini nampak lebih realistik.
Liga M5, medium untuk FAP kembali dengan wajah baharu
Mengikut perancangan FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), menjelang 2020, Liga M akan berkembang menjadi 5 divisyen.
Liga negeri dan liga sosial negeri akan membentuk Liga M5 (divisyen 5) yang mana setiap johan akan layak secara automatik ke Liga M4 (divisyen 4) pada musim berikutnya.
Oleh yang demikian, FAP perlu mengambil langkah untuk mengukuhkan kelab-kelab yang bersaing di liga tempatan mereka agar dapat merebut peluang tersebut.
FAP perlu membimbing dan membantu kelab-kelab yang bersaing di liga tempatan mereka untuk menjadi kelab yang lebih baik. Kerjasama antara FAP dan kelab tempatan juga dapat dijalinkan.
Sukar atau tidak, mungkin kelab-kelab tempatan yang berpotensi boleh digesa untuk memperkemaskan pengurusan kelab. Contoh sudah ada di Shah Alam, Subang dan juga banyak lagi.
Sebagai contoh, di Liga Bukit Mertajam (Liga BM) terdapat 64 pasukan bersaing di dalam tiga divisyen untuk tahun 2017 dan untuk liga remaja pula sejumlah 80 pasukan telah bertanding.
Selain itu, terdapat juga liga di daerah lain selain Liga FAP yang juga merangkumi tiga divisyen. Oleh itu, terdapat banyak kelab-kelab yang boleh dipertimbangkan oleh FAP.
Penulis pernah menyaksikan sebuah pasukan dari divisyen 2, Liga BM, River Two FC beraksi. Permainan bertenaga, ada susunan taktikal dan dibarisi pemain muda, skuad yang cukup rencah.
Pastinya ada kelab-kelab yang berpotensi untuk melangkah jauh, namun memerlukan sokongan dan juga khidmat nasihat dari FAP untuk membentuk pengurusan kelab yang sebenar.
Pada ketika itu, pasukan Pulau Pinang mungkin tidak wujud lagi, namun kelab-kelab di Pulau Pinang boleh menjadi wakil atau wajah kepada pembaharuan ini.
Penutup
Ini hanya pandangan peribadi penulis berkaitan kemelut yang bertubi-tubi menampar skuad Pulau Mutiara. Menyelesaikan hutang dan menarik diri adalah salah satu langkah penyelesaian.
Mungkin banyak lagi langkah lain, namun jika FAP sendiri telah menyatakan tiada penaja yang sudi menyuntik modal dengan liga sudah berlangsung, apa lagi pilihan yang ada?
Dari terus terbeban dengan hutang lama dan hutang baru serta menyusahkan kehidupan para pemain, pada pandangan penulis pilihan terbaik buat FAP adalah, tarik diri dengan misi yang baharu.
Apa pandangan anda dan adakah ini jalan terbaik buat FAP dan juga pasukan-pasukan yang juga mengalami masalah yang sama? Sila kongsikan bersama kami.