Penang bakal meneruskan aksi mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super, dengan pertemuan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak.
Musim ini segalanya tampak serba tidak begitu menjadi buat skuad kendalian Chong Yee Fatt itu dengan prestasi semasa ditampilkan pasukan tersebut jelas tidak konsisten di segenap sudut.
Malah, ketika ini kritikan-kritikan keras sudah pun kedengaran dalam kalangan penyokong mereka di media sosial mengenai prestasi semasa Penang yang dianggap semakin merudum.
Jika diikutkan, pada musim lalu Penang sudah pun menghadapi musim sukar mereka dalam saingan Liga Super sehingga menyaksikan ada rombakan baharu dibuat pada tahun ini.
Beberapa pemain tempatan serta import turut direkrut pasukan tersebut pada awal pra musim dan itu memberi sedikit kelegaan buat penyokong Penang, selain mereka menjuarai saingan Piala Harapan.
Namun, segalanya tidak begitu berjalan lancar buat pasukan tersebut dengan kini mereka boleh dianggap sangat sukar untuk menemui kemenangan serta menampilkan corak permainan lebih baik.
Kali terakhir Penang mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super 2023 ialah pada 8 Julai 2023 sewaktu berdepan Kelantan dengan keputusan penuh dicatat 4-3.
Selepas itu, mereka terus merekodkan kekalahan sebanyak enam kali berturut-turut dan kini berada di kedudukan ke-10 daripada 14 pasukan bertanding.
Untuk aksi malam ini, pastinya siri kebangkitan diperlukan oleh pasukan tersebut supaya mereka dapat memperbaiki kedudukan liga di tempat lebih baik sebelum saingan berakhir.
Walaupun begitu, cabaran getir tetap akan dilalui pasukan tersebut selepas prestasi semasa ditampilkan lawan iaitu Kuching City juga kini dalam momentum positif.
Rekod pertemuan pasukan tersebut dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan ia berpihak kepada Penang pada 27 April lalu menerusi keputusan 2-1.
Dua jaringan Penang ketika itu dilakar oleh Khairul Akmal Bin Rokisham serta Soony Saad, serta Kuching City memperoleh satu gol tunggal hasil ledakan Abu Kamara.
Namun kini segalanya sudah berubah dengan beberapa rombakan dibuat Kuching City termasuk mereka turut mendapatkan khidmat Aidil Sharin Sahak selaku pengendali pasukan tersebut dilihat mampu memberi kesukaran buat Penang.
Apapun, Penang kini tidak boleh keciciran sebarang mata lagi kerana baki saingan liga hanya tinggal beberapa perlawanan untuk dikejar pasukan tersebut bagi menamatkan segalanya di kedudukan lebih baik.