Terengganu pada awal musim ini adalah pasukan yang serba-serbi tidak kena dan amat wajar penyokong mereka berasa tidak senang dengan situas ini.
Selepas tiga perlawanan, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menduduki tangga terbawah liga dengan cuma mengutip satu mata sahaja selepas seri dengan Kuala Lumpur City.
Selebihnya adalah kekalahan dengan mereka kalah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan serta tumbang saat akhir kepada Kedah Darul Aman di Alor Setar.
Rekod ini sudah cukup buruk, tetapi apa yang lebih buruk adalah sepanjang tiga perlawanan ini dilangsungkan belum ada sebarang jaringan berjaya dihasilkan oleh Terengganu.
Situasi ini amat merisaukan penyokong mereka kerana jika hendak harapkan pertahanan sahaja kental bertahan tidak boleh juga kan? Tak kena cara, gawang boleh dibolosi juga.
Sudah bolos, penyerang pula tumpul untuk mencari gol jadi macam mana nak halang pasukan daripada mengalami kekalahan?
Di atas kertas, Terengganu mempunyai barisan penyerang yang kompetitif dengan Adisak Kraisorn adalah tonggak utama Steinbruckner untuk mencari gol sambil Ivan Mamut yang menjadi taruhannya sejak pra musim lagi.
Selain dua pemain tersebut, Terengganu juga ada Sony Norde yang merupakan pemain paling kerap melakukan serangan untuk mereka setakat ini mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League.
Dalam rekod yang dikeluarkan oleh MFL, Norde adalah pemain yang banyak melakukan percubaan untuk Terengganu dengan 15 kali namun semuanya tidak berjaya menembusi gawang.
Mamut juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menghasilkan 11 percubaan namun seperti Norde, ianya tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.
Apa yang berlaku ini pasti menimbulkan rasa kurang senang penyerang-penyerang Terengganu dan mereka mahu bangkit ketika bertemu PDRM pada Sabtu ini.
Namun, adakah mereka boleh melakukannya?
Di atas kertas, PDRM bukanlah lawan yang semudah disangka untuk Terengganu mendapatkan jaringan pertama mereka musim ini.
Dalam tiga perlawanan, PDRM sudah memboloskan empat gol. Akan tetapi, kesemua itu terhasil pada perlawanan pertama menentang Sabah dimana Sang Saka Biru kalah 4-0 di Likas.
Selepas itu, mereka tidak bolos ketika bertemu Perak dan melakukan perkara sama sewaktu melakukan kejutan ke atas Kedah di Darul Aman.
Kuncinya adalah pada penjaga gol iaitu Ramdhan Hamid yang telah menyelamatkan 11 percubaan daripada tiga perlawanan yang dihadapinya.
Jika penyerang-penyerang Terengganu boleh menewaskan Ramdhan, gol pastinya akan menyusul dan tidak terkejut jika tiga mata juga akan ikut sekali.
Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan sebaiknya. Jika terus tumbang, musim 2023 ini akan menjadi semakin panjang buat Steinbruckner dan Terengganu.