Baru-baru ini timbul isu mengenai harga Pay Per View (PPV) untuk menyaksikan aksi persahabatan antara Kelantan FC menentang Terengganu FC II.
Kelantan telah menetapkan harga untuk menyaksikan aksi pemanas badan tersebut sebanyak RM25 dan ia mengundang pelbagai komen dan reaksi sama ada daripada golongan penyokong The Red Warrior mahupun penyokong pasukan lain.
Ada positif dan ada yang negatif mengenai harga yang telah ditetapkan, namun pengurusan Kelantan kekal teguh dengan Pay Per View yang ditetapkan.
Sebahagian untuk tabung COVID-19
Semua sedia maklum yang dunia dan negara masih dilanda pandemik COVID-19. Menurut maklumat yang diperolehi daripada laman sosial Kelantan FC, 50 peratus daripada harga tiket tersebut akan disumbang bagi Tabung COVID-19.
Ia satu tindakan terpuji daripada pihak pengurusan apabila sebahagian daripada pembelian tiket akan diberikan kepada tabung tersebut. Namun, menurut beberapa komentar, nilai RM25 itu terlalu mahal untuk satu aksi persahabatan.
Memetik kenyataan di laman sosial Kelantan FC, “Tiada paksaan bagi mereka yang tidak mampu atau tidak bersetuju dengan program ini kerana kita faham di musim pandemik ini, bermacam halangan dan masalah dihadapi.”
Oleh itu, tiada masalah bagi yang tidak bersetuju. Anda tidak perlu membayar dan tunggu sahaja keputusan perlawanan yang sentiasa dikemaskini.
Bagaimana Kelantan FC buat?
Bagi penyokong yang berminat untuk menyaksikan perlawanan tersebut, mereka perlu membuat pembayaran dan juga membuat pendaftaran di Google Form yang tersedia. Anda juga perlu mengemukakan tangkap layar akaun Facebook anda dan bukti pembayaran, sebelum anda dimasukkan ke dalam Group TRWtv.
Ia satu inisiatif menarik oleh pihak pengurusan pasukan dalam meraih pendapatan buat pasukan disamping membuat kerja amal dengan Tabung Covid-19. Dengan penyokong tidak dibenarkan untuk berada di stadium, ini satu usaha yang membantu.
Setakat ini, dilihat hanya Kelantan yang menggunakan kaedah sebegini dan menurut ZamSaham, untuk aksi pertama mereka telah meraih lebih RM28,000.
Konsep yang sama bakal digunakan oleh KL United dan hasil kerjasama bersama Astro Arena, menyaksikan harga ‘tiket’ lebih murah iaitu RM2.99. Pertembungan Derbi Lembah Klang akan berlangsung pada malam ini di saluran Astro 825.
https://twitter.com/AfiqShari/status/1364753410294046721
Mahal atau murah, itu hak pasukan
Ya, ada yang mempersoalkan kenapa aksi ‘bernilai’ antara KL United dan Selangor FC jauh lebih murah berbanding pertembungan antara Kelantan menentang pasukan simpanan TFC, TFC II. Itu hak pasukan untuk menetapkan harga mereka.
Di musim pandemik ini, sangat sukar buat pasukan untuk menjana pendapatan dan ini satu inisiatif yang bagus. Penyokong dapat menzahirkan sokongan mereka disamping dapat melihat terus persediaan pasukan menjelang sepak mula liga.
Bagi yang merasakan ia mahal, anda tidak perlu membeli. Selain hasil jualan jersi, mungkin ini salah satu cabang untuk pasukan menjana pendapatan.
Mungkin jika penyokong masih tidak boleh memasuki kawasan stadium apabila liga kembali berlangsung, cara ini boleh digunakan setiap pasukan untuk menarik para penyokong hadir ke stadium secara maya. Menarik disamping menjana pendapatan. Namun, pasukan perlulah menyediakan ‘team media’ yang bagus.
ZamSaham harap MFL benarkan pasukan buat live
Pemilik Kelantan, ZamSaham dalam kemaskini di laman Facebooknya selepas aksi menentang TFC II tampil berkata, “[RM28,000] lebih tinggi dari yg diuruskan oleh Mycujoo iaitu hanya RM1,700 pendapatan dari 6 perlawanan sessi lepas.”
“Mohon MFL BENARKAN Kelab terutama dari Liga Perdana uruskan sendiri live perlawanan. Tolong bantu Kelab bukan bantu Mycujoo,” tegasnya.
Selain itu ZamSaham turut dilihat berjanji kepada penyokong The Red Warrior, jika begini sambutan para penyokong, mungkin beliau juga tidak akan berkira untuk melabur mendapatkan pemain berkualiti dan juga fasiliti di masa akan datang.
Apabila memasuki fasa penswastaan ini, penyokong tidak kira mana-mana pasukan sekalipun perlulah menerima cara baharu sebegini. Semuanya tentang bagaimana untuk menjana pendapatan pasukan dan kita bukan lagi di era subsidi. Mahal atau murah, itu hak pasukan masing-masing untuk menentukannya.
Cuma, mungkin selepas ini, Kelantan perlu memikirkan sama kaedah lain bagi membantu agar semua penyokong mereka akan dapat menonton aksi pasukan. Anggaplah RM25 kali ini untuk membantu Tabung COVID-19 terlebih dahulu.
KREDIT FEATURED IMAGE: TRW KELANTAN FC
Baca lagi artikel lain tentang Kelantan FC:
Bawa Masuk Jurulatih Futsal Berpengalaman, Kelantan FC Mahu Terapkan Metodologi Futsal?
‘Mereka Tak Tahu Taktikal’, Kata Bekas Pemain Import Kelantan, Morgaro Gomis
Kisah Kelantan Malukan JDT Yang Menjadi Titik Tolak Kebangkitan Sebuah Empayar