2 Bekas Pemain Kedah Taruhan Terbaik JDT Pertahankan Piala Sumbangsih?

syafiq ahmad fernando rodriguez kedah jdt 2021 sumbangsih

Kepulangan semula Jonathan Herrera ke bumi Argentina memang tak dijangka, namun masa kian suntuk buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi Sumbangsih berdepan Kedah.

Penyerang yang menerima jolokan ‘The Ace’ di Argentina itu telah dilepaskan kembali untuk menyertai Independiente secara pinjaman – dengan pilihan perpindahan tetap pada masa hadapan. Jadi, siapa jadi taruhan JDT pada Jumaat nanti?

Ketika ini, JDT dikaitkan dengan perpindahan seorang pemain asal Brazil, Bergson da Silva seperti yang dilaporkan salah satu media sukan dari Brazil, Opovo Online.

Bergson belum tiba, jadi siapa taruhan JDT?

Penyerang tersebut masih belum tiba ke Iskandar Puteri, sementara Jonathan Herrera pula sudah kembali ke Argentina. Ini menimbulkan persoalan siapa pula yang bakal menjadi penyerang utama dalam usaha JDT mengekalkan kejuaraan Sumbangsih?

Sudah tentu pengendali, Benjamin Mora sudah mula berkira-kira, siapa yang bakal mengetuai jentera serangannya nanti. Dalam senarai pemain JDT musim depan, siapa yang masih ada dalam senarai di bahagian serangan yang boleh dipertaruhkan?

JDT memiliki penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad dan Hazwan Bakri selain penyerang di JDT II yang juga merupakan bekas pemain Kedah, Fernando Rodriguez yang merupakan calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut.

Untuk rekod, Hazwan Bakri boleh dikatakan sudah terkeluar daripada persaingan. Ini kerana, pada musim lalu, kelibatnya langsung tidak kelihatan, sementara pada musim 2019, beliau hanya tampil selama 22 minit dalam dua penampilannya.

Syafiq Ahmad taruhan utama?

Kedua-duanya memiliki sejarah bersama Kedah. Sama ada Syafiq Ahmad ataupun Fernando Rodriguez, kedua-duanya masih dianggap sebagai antara pemain yang masih dikenang oleh para penyokong skuad Hijau Kuning sehingga kini.

Syafiq Ahmad diketahui memiliki permainan seakan-akan Diogo Luis Santo yang sudah dilepaskan untuk kembali ke Thai League sejurus berakhir musim 2020. Masih ingat impak yang dibawa Syafiq Ahmad berdepan Kedah dalam final Piala Malaysia 2019?

Penyerang berusia 25 tahun itu dimasukkan menggantikan Diogo di pertengahan babak pertama dan telah merubah rentak JDT dengan satu gol dan satu bantuan gol. Hanya tiga minit selepas kemasukkannya, JDT berjaya meledak gol pertama.

Dan Benjamin Mora juga dipetik berkata yang beliau tidak gusar memasukkan Syafiq Ahmad sebagai pengganti Diogo yang tercedera. Katanya, “Dia [Syafiq Ahmad] adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik. Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya.”

Fernando Rodriguez juga boleh dipertimbangkan

Penyerang kelahiran Sepanyol berusia 33 tahun ini juga tidak mustahil bakal jadi taruhan skuad Harimau Selatan. Beliau kurang mendapat peluang untuk tampil bersama skuad utama, namun musim lalu, beliau berjaya mendapat satu peluang.

Dan dengan satu peluang itu, Fernando Rodriguez telah membuktikan beliau boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk skuad utama JDT. Dan beliau juga mendapat kepercayaan untuk memacu cabaran JDT di AFC Champions League (ACL) 2020.

Berdepan Melaka United dan dimasukkan pada minit ke-70, Fernando Rodriguez telah membantu JDT menghasilkan tiga gol – dua bantuan gol dan satu jaringan peribadi dalam debut bersama skuad utama yang menyaksikan lawan tumbang 0-5.

Dan, tanpa ragu-ragu, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata beliau akan tampil untuk baki saingan ACL 2020 yang akhirnya tidak kesampaian. Kata TMJ, “Saya ada Fernando Rodriguez untuk ke ACL.”

Ini membuktikan kepercayaan TMJ kepada Fernando Rodriguez yang disuntingnya apabila dilepaskan Kedah penghujung musim 2019. Bersama Kedah, beliau telah mencetak 21 gol dalam 39 penampilan dalam semua pertandingan.

Siapakah diantara Syafiq Ahmad dan Fernando Rodriguez yang bakal mengemudi jentera serangan JDT berdepan bekas pasukan mereka itu dalam misi mengekalkan Piala Sumbangsih buat tahun ke-4 berturut-turut di bumi Johor?

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Piala Sumbangsih, JDT dan Kedah:

CIMB Piala Sumbangsih 2020: JDT Langkah Kanan Di Laman Baharu

3 Pilihan Yang Ada Buat Kedah Untuk Gantikan Ariff Farhan

Kelibat Syafiq Ahmad, Safiq Rahim Antara Yang Curi Tumpuan Penyokong JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN