Biasanya hari pertama La Liga, Real Madrid akan mencatatkan kehadiran penyokong yang tinggi kerana penyokong lepaskan rindu mereka kepada pasukan yang mereka sayangi.
Apatah lagi Real Madrid adalah juara UCL musim 2017/18.
Namun malangnya, dalam perlawanan pertama La Liga di Bernabeu musim 2018/19, Real Madrid mencatatkan rekod kehadiran terburuk kelab dalam tempoh 10 tahun.
Harus diakui ketiadaan Ronaldo menjadi penyumbang kepada isu ini. Namun kami juga dapati ada beberapa perkara tambahan lain selainnya.
Rekod terburuk selepas 10 tahun
Bernabeu hanya diisi dengan 48,466 penyokong sahaja pada hari pertama selepas era Cristiano Ronaldo. Ianya hanya lebih sedikit daripada separuh kapasiti. Bernabeu ada kapasiti tempat duduk sebanyak 81,044.
Real Madrid menang 2-0 ke atas Getafe. Bale dan Carvajal menjadi penjaring mereka.
Kali terakhir Real Madrid bermain dalam suasana stadium separuh penuh adalah pada 2008/09. Itupun selepas pasukan mereka tewas 5 perlawanan berturut-turut bermula daripada dibantai 6-2 oleh Barcelona pimpinan Guardiola.
Selepas kekalahan itulah Los Blancos mengerah usaha mendapatkan Cristiano Ronaldo dari Manchester United. Mereka membayar rekod dunia untuk perpindahan pemain ketika itu.
Alex Ferguson menyatakan ia angka sukar ditolak kerana Ronaldo sendiri mahu ke Real Madrid yang menjadi kelab impiannya sejak kecil.
https://www.youtube.com/watch?v=tsCfDGni-_8
Ronaldo menyertai Real Madrid pada Jun 2009 dan membantu kelab menjuarai 4 UCL dan 2 La Liga. Menjaringkan 450 gol daripada 438 perlawanan.
Pada era Cristiano Ronaldo, Bernabeu tidak pernah lenggang seperti ini, walaupun ada satu ketika peminat Real Madrid marah dan menge-boo Ronaldo.
Kuasa publisiti Ronaldo
Pemergian Ronaldo ke Juventus dikatakan antara faktor yang menyebabkan hari pertama di Bernabeu banyak kerusi kosong.
Ronaldo bukan sahaja menjadi tarikan peminat Real Madrid di Sepanyol, namun menjadi sebab kenapa ramai penyokong dari luar Sepanyol sanggup ke Real Madrid untuk menyaksikan beliau.
Beliau adalah megastar yang bukan sahaja pemain bola sepak yang hebat tetapi selebriti bola sepak di atas padang.
Status beliau sebagai pemenang 5 Ballon d’Or membuktikan legenda hidup ini antara penarik orang datang ke Santiago Bernabeu walaupun ada daripada mereka bukan peminat Real Madrid.
Ketiadaan nama besar sertai Real Madrid
Seterusnya, pada hari pertama setiap musim, pastinya penyokong mahu menyaksikan wajah pemain baru dalam skuad terutama sekali pemain bintang.
Sebelum ini Real Madrid sudah tidak menandatangani nama-nama besar pada era Zinedine Zidane, tetapi mereka tetap datang kerana Ronaldo.
Real Madrid gagal mendapatkan Eden Hazard dan beberapa bintang lain ke kelab mereka. Bintang seperti Bale, Benzema dan Asensio dianggap bintang biasa bagi peminat Real Madrid.
Peminat Real Madrid juga meletakkan nama-nama seperti Mbappe dan Neymar dalam senarai impian (wish-list) mereka.
Hanya Courtois, nama besar yang mereka bawa masuk. Namun pemain itu masih dalam proses kecergasan penuh. Dan kami tak rasa Courtois terlalu kuat daya tarikannya berbanding jika Real Madrid berjaya mendapatkan pemain seperti Hazard, Neymar ataupun Mbappe.
Vinnicius Jr. masih asing bagi peminat dan gagal mempamerkan aksi lebih mengujakan pada pra musim selepas dikaitkan dengan gelaran Neymar baru.
Pada hari presentasi beliau pun tidak ramai yang hadir.
Apa yang Real Madrid bakal lakukan?
Kutipan hari perlawanan sangat penting untuk pasukan besar seperti Real Madrid.
Mereka memerlukan pemain seperti Bale, Asensio, Isco melakukan aksi luar biasa untuk menarik kembali penyokong mereka datang ke stadium.
Agak sukar untuk melihat pemain-pemain yang ada di Real Madrid menjadi kuasa publisiti menggantikan Ronaldo.
Bahkan bintang Piala Dunia mereka, Luka Modric pun dilihat tidak mampu melakukannya.
Mungkinkah Real Madrid akan cuba meyakinkan pemain seperti Neymar, Mbappe ataupun Hazard untuk menyertai mereka dan terpaksa melaburkan rekod perpindahan dunia sekali lagi?
Sebagaimana mereka lakukan kepada Cristiano Ronaldo sebelum ini?
Mereka juga pernah mendapatkan Beckham dari Man. United dalam usaha mereka menaikkan imej komersil kelab selain daripada atas tujuan bola sepak.
Era Galaticos dahulu sarat dengan bintang yang menjadi penarik kepada penyokong datang ke Bernabeu.