Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadapi tugas getir pada petang ini dalam misi mereka untuk mengharumkan nama pasukan dan negara dalam saingan 16 terbaik AFC Champions League (ACL).
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Saitama ini bakal menyaksikan JDT berdepan salah satu pasukan gergasi di Jepun iaitu Urawa Red Diamonds untuk merebut slot ke pusingan seterusnya.
Battle ready ⚔️ Give it all you've got, lads.
More photos at https://t.co/HXiJ7oLRVi#AFCChampionsLeague#Roundof16#TrainingSession#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/8aFEg0VyTe
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 18, 2022
Seperti diketahui, JDT pada tahun ini sedang menikmati musim terbaik mereka dalam saingan ACL apabila menjadi juara peringkat Kumpulan I setelah mengejutkan pasukan pilihan seperti Ulsan Hyundai dan Guangzhou Evergrande, selain mampu mengikat Kawasaki Frontale.
Menjelang aksi petang ini, pengendali baharu mereka iaitu Hector Bidoglio pastinya sudah pun mempersiapkan barisan pemain pilihan beliau untuk berhadapan cabaran menentang Urawa Reds.
Ini ada tiga pemain JDT yang dilihat mampu memberi impak penting pada perlawanan menentang jaguh dari Jepun itu.
Arif Aiman Hanapi
Bintang muda Malaysia tersebut dijangka bakal menjadi pilihan utama untuk perlawanan petang ini, setelah kecemerlangan yang ditampilkan Aiman sebelum itu di peringkat kumpulan berjaya memberi impak positif buat JDT.
Arif Aiman kini sedang menikmati saat terbaik beliau selaku pemain bola sepak muda negara yang semakin meningkat dari segi corak permainan serta ketenangan di atas padang.
Kelebihan beliau yang mampu mencipta umpanan cantik di dalam petak penalti sering menjadi pencetus utama buat pasukan untuk mendapatkan gol.
Arif juga merupakan pemain yang sangat lincah, mampu membuat larian deras, serta tajam di hadapan gol yang mampu memberi masalah buat pertahanan lawan.
Fernando Forestieri
Pemain import baharu JDT musim ini tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan setelah beliau mampu membentuk kombinasi terbaik bersama rakan serangan lain.
Forestieri setakat ini sudah pun meledak enam gol dalam saingan Piala FA serta menjadi penjaring kedua terbanyak dalam saingan Liga Super menerusi 11 jaringan dilakar beliau.
Forestieri mempunyai kelebihan dari segi rembatan jarak jauh yang tepat, kelincahan mengawal bola, serta kreatif mencipta umpanan.
Bergson da Silva
Penjaring terbanyak Liga Super 2022 ketika ini dilihat terus konsisten untuk meledak gol dan kualiti ketajaman beliau juga sangat terbukti ketika saingan ACL peringkat kumpulan I lalu.
Ketika ini, Bergson boleh dianggap sebagai pemain paling penting buat JDT sekiranya mereka mahu mendapatkan jaringan, kerana kualiti yang dimiliki beliau boleh dikatakan sangat tinggi.
Kelebihan Bergson terletak pada kekuatan fizikal beliau, selain pemain ini bijak melepaskan rembatan walaupun berada pada sudut sukar dalam petak penalti.