Karier Abdelhak Nouri yang dilabel sebagai antara prospek bola sepak Belanda ‘hancur’ dengan sekelip mata apabila beliau rebah berikutan serangan aritmia jantung (cardiac arrhythmia attack) ketika sedang beraksi perlawanan persahabatan menentang Werder Bremen, kira-kira tiga tahun lalu.
Susulan dengan detik mencemaskan pada minit ke-72 itu, Nouri disahkan mengalami kerosakan otak kekal dan berada dalam keadaan koma selama setahun. Beliau kembali sedar pada bulan Oktober 2018.
Meskipun keadaannya sudah pasti tidak lagi seperti tiga tahun lalu, Nouri yang kini berusia 22 tahun dikhabarkan sudah mula menunjukkan perkembangan positif.
Menurut laporan Goal, abang Abdelhak, Abderrahim Nouri mendedahkan adiknya kini sudah boleh duduk, menyaksikan perlawanan bola sepak bersama keluarga serta menunjukkan emosi beliau. Rumah mereka juga direka khas bagi memenuhi keperluannya.
”Dia sudah lama tidak berada di rumah, pada ketika ini kami telah menjaganya. Saya perlu katakan sejak dia berada di rumah, keadaannya semakin baik berbanding ketika dia di hospital,” ujar Abderrahim Nouri.
”Dia sedar di mana dia berada, dia telah kembali di persekitaran yang kebiasaannya bersama keluarga. Dia tidak lagi berada dalam keadaan koma. Dia sudah sedar. Dia masih sangat bergantung kepada kami.”
”Pada hari-hari baiknya, terdapat satu bentuk komunikasi, sebagai contoh, pengesahan dengan isyarat mata atau senyuman. Tetapi anda perhatikan ia tidak boleh bertahan dengan lama.”
”Kami bercakap dengannya seperti dia tidak sakit. Kami turut melibatkannya dalam perbualan kami dan kami menonton perlawanan bola sepak dengannya di ruang tamu.”
”Kemudian dia melihat. Anda akan menyedari bahawa dia sangat menyukainya. Dia sering menunjukkan emosinya. Kadangkala dia akan menjadi emosional tetapi kadang-kadang dia juga akan tersenyum.”
”Itu yang baik untuk kita, membuatkan kamu sangat menghargai senyuman.”
Kredit foto: VI Images via Getty Images