Dua sandaran utama Real Madrid yang mengalami kecederaan sebelum ini iaitu Cristiano Ronaldo dan Dani Carvajal dilaporkan sudah menyertai latihan bersama rakan sepasukan yang lain.
Cristiano Ronaldo mengalami kecederaan buku lali pada separuh masa pertama ketika pertembungan hebat El Clasico yang memaksa beliau terpaksa dikeluarkan sebelum sepak mula babak kedua.
Manakala bagi Dani Carvajal pula, beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-67 sewaktu pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah bertemu Bayern Munich di Allianz Arena.
Kecederaan peha yang dialami menyebabkan beliau terpaksa melupakan aksi kedua di Santiago Bernabeu.
Video sesi latihan yang dimuat naik laman Twitter rasmi Real Madrid menyaksikan bahawa Ronaldo dan Carvajal sudah mula menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan yang lain.
Kelihatan kedua-dua pemain tersebut sudah pulih sepenuhnya dari sebarang kecederaan.
Perkembangan semasa di kem Real Madrid itu sudah pasti dapat meningkatkan moral pasukan yang kini dalam persiapan rapi untuk menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bertemu Liverpool di Kiev.
Sebelum itu Los Blancos akan bertemu Villareal pada perlawanan terakhir saingan La Liga.
Pengendali pasukan, Zinedine Zidane dijangka hanya akan membariskan para pemain yang jarang diturunkan kerana Real Madrid sudah pun mengesahkan kedudukan di tangga ke-3 musim ini.
Ini kerana tumpuan utama Zidane semestinya bagi mempersiapkan pasukan yang segar dan cergas dalam misi mendakap kejuaraan ke-13 dan ketiga berturut-turut dalam saingan paling berprestij di Eropah itu.
💪⚽ Good news today during our first training session of the week at #RMCity!
🔙 @Cristiano
🔙 @DaniCarvajal92 pic.twitter.com/K28u1QNzWr— Real Madrid C.F. 🇬🇧🇺🇸 (@realmadriden) May 15, 2018