Bintang Chelsea, Eden Hazard membayangkan masa depannya di Stamford Bridge bergantung kepada pemain yang dibawa masuk oleh kelab London tersebut musim hadapan sebelum membuat keputusan bagi menandatangani kontrak baharu.
Pemain berusia 27 tahun kelahiran La Louvière, Belgium itu mahu Chelsea membawa masuk pemain yang baik ke dalam pasukan pada musim hadapan dalam usaha untuk kembali meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dilaporkan Chelsea cuba untuk memujuk Hazard bagi memeterai kontrak lanjutan dengan menandatangani kontrak baharu bernilai sekitar £ 300,000 ($ 405,000) seminggu.
Pemain antarabangsa Belgium itu kini menjadi sasaran utama Real Madrid untuk dibawa ke Santiago Bernabeu dan keadaan itu membuatkan Chelsea menawarkan kontrak baharu walaupun kontrak terdahulu beliau hanya akan tamat pada tahun 2020.
”Saya menantikan untuk pemain baharu pada musim hadapan.” kata Eden Hazard.
”Saya mahu pemain yang baik kerana saya mahu memenangi Liga Perdana Inggeris musim hadapan.”
”Kerana itulah saya mengambil masa (untuk menandatangani kontrak lanjutan). Ia merupakan sesuatu yang besar bagi saya, jadi saya perlu berfikir mengenai banyak perkara. Tetapi satu perkara yang pasti adalah, saya gembira di sini.”
Chelsea menamatkan kempen EPL musim ini dengan hambar apabila sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dan terlepas peluang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Kembali mengulas mengenai masa depannya, Hazard menegaskan bahawa perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini menentang Manchester United bukanlah perlawanan terakhirnya bersama kelab yang disertai sejak tahun 2012 itu.
”Seperti yang banyak kali saya katakan sebelum ini, saya merasakan aksi akhir Piala FA bukanlah perlawanan terakhir saya untuk Chelsea.”
”Itu adalah perlawanan terakhir bagi musim ini. Itu sahaja,” tegas Eden Hazard lagi.
”Selepas Piala Dunia, kemudiannya kami akan bersedia untuk musim hadapan tetapi bagi saya, dalam fikiran saya, saya di sini. Sekarang saya mempunyai masa seminggu untuk bermain.”
”Sabtu adalah perlawanan yang besar, saya hanya mahu mencapai kemenangan untuk diri saya dan mereka juga.”
”Kami adalah Chelsea dan kami memerlukan trofi pada penghujung musim dan ketika ini kami tidak mempunyai apa-apa.”
”Kami tidak layak ke Liga Juara-Juara Eropah, jadi musim ini adalah teruk. Sekarang kami boleh menyelamatkan sedikit musim ini dengan trofi Piala FA tersebut. Jadi kami akan memberikan segalanya.”