Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic sebelum ini hanya mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri serta dua kekalahan pada empat perlawanan awal dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.
Kekalahan berturut-turut dialami pada aksi ke-3 dan 4 selepas mereka kecundang di tangan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 2-0 di Stadium TLDM, Lumut dan dikecewakan Kelantan dengan keputusan 3-2 pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu.
Selepas itu, Perak terus melupakan dua kekalahan tersebut dengan mencatatkan lima kemenangan berturut-turut.
Kemenangan 3-2 ketika bertemu Terengganu di Stadium Perak, Ipoh kelmarin meletakkan Perak kini berada di tangga kedua Liga Super, ketinggalan lima mata dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagi Mehmet, beliau ternyata gembira dengan aksi yang dipamerkan pada perlawanan bertemu Terengganu kelmarin.
”Mungkin antara aksi terbaik yang ditampilkan pada musim ini terutamanya pada separuh masa pertama. Dengan hantaran dan pergerakan yang memerangkap Terengganu. Saya sangat gembira dengan persembahan para pemain.”
”Kami perlu menggunakan peluang yang terhidang, sekiranya kami menggunakan peluang tersebut berkemungkinan tambahan dua atau tiga jaringan akan terhasil dengan mudah,” jelas Mehmet Durakovic bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan.
”Sebahagian daripada itu, dari mula hingga tamat permainan kami kelihatan selesa untuk memenangi perlawanan.”
”Terengganu adalah sebuah pasukan yang cukup baik. Mereka mempunyai pemain import, tempatan serta jurulatih yang bagus.”
”Tetapi aksi para pemain saya sukar dipercayai, mereka memberikan tekanan dengan tepat dalam apa yang kami mahu lakukan dan kami mencipta banyak peluang.”
Ketika mengulas tentang kedudukan terkini Perak dalam saingan Liga Super, Mehmet memberikan pujian buat para pemainnya dan menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk meraikan pencapaian baik yang sedang dinikmati anak buahnya.
”Ya, sangat hebat. Tetapi perjalanan masih panjang untuk diharungi. Secara jujurnya para pemain begitu bekerja keras. Secara perlahan-lahan kami menikmatinya tetapi perjalanan masih terlalu panjang. Sangat panjang.”
”Sudah pasti sebagai jurulatih, sangat gembira dapat mengekalkan rentak kemenangan dan berada di tangga kedua untuk mendekati Johor.”
”Tetapi JDT, Pahang dan Terengganu adalah pasukan yang hebat, jadi ianya tidak mudah tetapi sebagai jurulatih saya gembira dapat berada di tempat kedua.”