6 Pemain Liga Super Ini Merupakan Siswazah Dalam Ijazah Sarjana Muda

Ijazah

Menjadi pemain bola sepak profesional tidak memerlukan anda untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) atau memperoleh sebarang kelayakan akademik untuk menarik minat ketua jurulatih atau panel pemilihan sesebuah pasukan.

Berbekalkan kecergasan di tahap terbaik (walaupun tidak semua pemain memilikinya) berserta kemahiran yang cukup untuk menjadi pemain bola sepak berjaya, ditambah faktor rezeki sudah cukup untuk merealisasikan impian seseorang pemain untuk berkecimpung dalam kerjaya ini.

Namun, terdapat juga pemain bola sepak profesional di Eropah yang mempunyai kelulusan pendidikan tinggi seiring dengan karier cemerlang mereka seperti yang pernah dikongsikan oleh penulis pada artikel sebelum ini.

Pada artikel kali ini, penulis ingin menyingkap mengenai enam orang pemain tempatan yang kini beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia 2018 dan mempunyai kelulusan pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda (Degree).

1) Bryan See Tian Keat (PKNP FC)

Foto: PKNP FC

Penjaga gol berasal dari Subang Jaya yang berusia 25 tahun ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Johns Hopkins University (JHU), Amerika Syarikat.

Perjuangan Bryan dalam pelajaran tidak terhenti di situ sahaja walaupun sudah bergelar pemain profesional apabila beliau kini menyambung pengajian jarak jauh dalam Ijazah Sarjana (Masters) Kejuruteraan Awam di JHU.

Kepintaran Bryan dapat dihidu sejak bangku persekolahan lagi apabila memperolehi keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

2)  Mohamad Hisyamudin Bin Mohamed Sha’ari (KL)

Foto: Kuala Lumpur FA

Pertahanan kental Kuala Lumpur yang bakal menjangkau usia 31 tahun pada September, merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Bermula dengan sekadar mewakili UiTM (ketika itu belum menyertai Liga Malaysia), sudah cukup bagi mencuri tumpuan ketua jurulatih Perak musim 2011, Norizan Bakar untuk menawarkan kontrak profesional pertama dalam memberikan peluang buat beliau beraksi bersama skuad ‘yob’ itu.

Sewaktu bersama Perak, Hisyamudin berjaya menamatkan pengajiannya dalam program Ijazah di UiTM dan ketika ini, anak kedua dari lima adik beradik itu sedang melanjutkan pengajian jarak jauh dalam bidang Ijazah Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

3) Amiridzwan Taj Bin Tajuddin (Kelantan)

Foto: Kelantan FA

Pemain kelahiran Kota Bharu ini kembali memperkuatkan skuad The Red Warriors musim ini selepas kali terakhir bersama pasukan  tersebut pada tahun 2015.

Pemain pertahanan tinggi lampai berusia 32 tahun yang beraksi bersama-sama Hisyamudin di UiTM turut merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Beliau juga adalah bekas pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik dan Kuala Terengganu.

4) Mahali Jasuli (PKNS FC)

Foto: PKNS FC

Pemain Johor Darul Ta’zim yang dipinjamkan ke Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) musim ini telah kembali berada di prestasi baiknya selepas mendapat bimbingan dari Datuk K. Rajagopal.

Mahali telah menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) pada tahun 2012 di Universiti Putra Malaysia. Sewaktu beliau masih lagi bersama skuad Harimau Muda A.

“Kelulusan yang dimiliki boleh digunakan untuk mengintai peluang pekerjaan lain dalam bidang pengurusan sukan atau sektor korporat setelah kita tidak lagi bergelar atlet profesional,” jelas Mahali kepada akhbar Utusan yang diterbitkan selepas selesai majlis konvokesyen beliau pada tahun 2012.

5) Mohd Bunyamin Omar (Pahang)

Foto: Pahang FA

Bunyamin yang kini beraksi untuk pasukan Pahang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas menamatkan tingkatan 5 di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), anak kelahiran Sik, Kedah ini meneruskan pengajian dalam Pra-Universiti juga di SSBJ dan seterusnya melanjutkan pengajian di UPM.

“Memang ada ketikanya jadual perlawanan dan peperiksaan bertembung, namun pensyarah-pensyarah memahami situasi saya dan membenarkan saya mengambil peperiksaan pada tarikh lain,” ujar Bunyamin juga ketika ditemubual pada tahun 2012 oleh Utusan.

6) K. Reuben (PKNS FC)

Foto: PKNS FC

Seorang lagi pemain yang kembali menunjukkan peningkatan selepas bersama Datuk K. Rajagopal di PKNS FC.

Reuben adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains & Teknologi Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Difahamkan beliau merupakan lepasan sekolah Victoria Institution yang diketahui telah melahirkan ramai pemain bola sepak negara antaranya seperti legenda terulung, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Kredit featured images: HS Insider

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN