Bekas penyerang import JDT, Paulo Rangel dilaporkan menjadi sasaran skuad Helang Merah bagi menggantikan Pablo Pallares pada pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia 2018 yang akan dibuka awal Mei depan.
Laporan daripada Sinar Harian berkata, persatuan bolasepak Kedah (KFA) telah menyenaraikan beberapa pemain penyerang import dan wakil dari KFA turun untuk melihat sendiri dan menilai prestasi semasa pemain tersebut bersama pasukan semasa masing-masing.
Selain Paulo Rangel, lima pemain lagi sedang dinilai oleh KFA iaitu antaranya penyerang kelab Liga Utama Thailand dari pasukan Suphanburi FC, Sylvano Dominique Comvalius yang berusia 30 tahun.
“Memang kita tengah mencari dan datang tengok sendiri pemain penyerang import sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat. Setakat ini masih belum ada sebarang rundingan rasmi dimulakan kerana mahu melihat dan menilai terlebih dahulu semua perkara,” katanya.
Namun begitu, Sylvano dilihat gagal memikat wakil daripada KFA apabila penyerang tersebut tidak diturunkan berikutan tidak cergas dalam aksi menentang Ratchaburi FC di Suphanburi Municipality Stadium.
Musim lepas, penyerang itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama Bali United di Liga Indonesia pada 2017 apabila menjaringkan 37 gol pada 34 penampilan.
Walaubagaimanapun, beliau masih belum menjaringkan sebarang jaringan sejak enam perlawanan Liga Thailand musim ini.
Paulo Rangel pernah beraksi dengan kelab Nakhon Ratchasima juga di Liga Utama Thailand dan menjaringkan 11 gol pada 17 perlawanan bersama pasukan tersebut pada musim 2017.
Selain Ratchasima, Rangel juga pernah bermain dengan Muangthong United. Beliau kemudian datang ke Malaysia dan menyertai beberapa pasukan di Liga M. Antaranya Perak, Selangor, Terengganu, JDT dan kelab terakhir beliau di Malaysia adalah JDTII.
Ketika di Malaysia, Rangel antara penggempur yang digeruni. Mana tidaknya, aksi beliau di hadapan gol sangat tajam meskipun beliau antara penyerang kontroversi di luar padang.
Bekas penyerang import Kedah, Ken Ilso yang kini beraksi bersama Pulau Pinang di saingan Liga Premier juga turut disebut-sebut berada dalam radar Lang Merah.
Ilso membuktikan keupayaannya pada musim lalu apabila berjaya menjaringkan 24 gol pada 26 penampilan bersama pasukan Kedah.
Kedah kini sedang giat mencari penggempur baharu bagi memberikan saingan yang sengit dalam Liga Super 2018. Pablo Pallares yang dibawa masuk dari Sepanyol pada musim ini dilihat gagal menyakinkan para penyokong skuad helang merah.