Barcelona bakal membuat perhitungan bertemu Sevilla dalam aksi akhir Copa Del Rey pada awal pagi esok bagi memburu kejuaraan ke-30 buat kelab gergasi Sepanyol itu.
Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai saingan tersebut, pengendali Barcelona, Ernesto Valverde tidak memandang rendah cabaran yang bakal diberikan Sevilla di Wanda Metropolitano nanti.
Menurut Valverde lagi, beliau dan anak buahnya akan dapat melupakan detik tewas ditangan AS Roma dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sekiranya mereka mampu untuk mempertahankan kejuaraan Copa Del Rey yang dimenangi musim lalu.
”Dengan memenangi Copa Del Rey akan menjadi cara yang terbaik untuk meletakkan kekecewaan dalam Liga Juara-Juara Eropah di belakang kami,” ujar Valverde dalam satu sidang media.
”Adalah menjadi kewajipan untuk menang bersama Barcelona, dalam Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Copa Del Rey. Itu adalah jalan buat pasukan besar.”
”Tekanannya sama dengan perlawanan akhir yang lain, anda masih belum memenangi gelaran kerana masih mempunyai perlawanan akhir dan terdapat dua pasukan yang terlibat.”
”Kami mungkin merupakan pasukan pilihan tetapi anda masih perlu untuk beraksi.”
”Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, kami merupakan pilihan, tetapi kami tidak layak ke peringkat seterusnya.”
”Saya tidak pernah berfikir apabila bersama Athletic (Bilbao), bahawa untuk mengalahkan Barcelona adalah keajaiban tetapi lebih banyak kesempatan dan itulah keadaannya esok.”
Pada tahun 2015, Valverde yang ketika itu membimbing Athletic Bilbao berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Copa Del Rey, namun tewas 3-1 ditangan Barcelona.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada bulan lalu yang menyaksikan Barcelona bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk seri 2-2 dalam saingan La Liga.