Kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk terus mengemudi pasukan Kelantan telah memberikan semangat tambahan kepada Yusri Che Lah untuk menghadiahkan lebih banyak kemenangan dalam perlawanan yang seterusnya.
Yusri berkata kepada Utusan Malaysia, dengan mencatatkan keputusan positif dan peningkatan mutu permainan pasukan merupakan cara baginya membalas kepercayaan majikannya itu.
“Saya perlu berusaha keras menggunakan pengalaman yang dimiliki bagi memberikan sesuatu yang gembira kepada KAFA walaupun untuk memperolehi keputusan positif setiap perlawanan yang dilalui agak sukar,” katanya.
Pengendali yang berasal dari Perlis itu berjaya membawa Kelantan mencipta kemenangan sulung Liga Super ke atas pasukan Perak minggu lalu. Dibawah kendaliannya, Kelantan turut menempah tiket ke pusingan ketiga Piala FA selepas menewaskan Terengganu City FC.
“Saya mengharapkan pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan dua perlawanan sebelum ini di samping meningkatkan prestasi dan memperbaiki kelemahan,” jelasnya.
Yusri juga tekad memburu kemenangan kedua Liga Super apabila Kelantan dijadualkan bertemu pasukan PKNS FC untuk perlawanan kelima Liga Super musim ini di Stadium Shah Alam pada hari Jumaat ini.
“Selepas ini saya akan berdepan tugas sukar iaitu berdepan pasukan PKNS FC yang mana pasukan ini dilihat antara pasukan pencabar pada siangan Liga Malaysia dan mempunyai barisan pemain berkualiti tinggi,” katanya.
Tanggungjawab yang diberikan oleh KAFA tidak memberikan tekanan kepadanya namun beliau melihat tanggungjawab itu satu cabaran kepada dirinya untuk membawa pasukan Kelantan sebagai salah satu pencabar pada saingan Liga Malaysia.