GB13 Jawab Tuduhan Presiden FAS, Tegas Perjuangan Demi Bola Sepak Sarawak

Kumpulan garis keras penyokong Sarawak yang dikenali sebagai GB13, sebentar tadi mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman media sosial Facebook milik mereka.

Kenyataan media berkenaan dipercayai adalah untuk menjawab kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais semalam.

Kenyataan media FAS

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh FAS sebelum ini, Dato Posa Majais meluahkan rasa kesal kerana GB13 telah menyiarkan sebuah video yang mengandungi kenyataan dari beliau mengenai isu pembayaran gaji pemain.

Penyiaran rakaman terbabit didakwa oleh Dato Posa sebagai tidak beretika, dan didakwa sebagai ‘usaha memerangkap’ ketika beliau diajak berbincang bersama kumpulan penyokong tersebut beberapa bulan yang lalu.

Kredit foto: Stadium Astro

Sambil memuji usaha GB13, Presiden FAS tersebut berkata:

“Usaha ini juga menunjukkan bahawa GB13 mengorak langkah ke arah profesionalisme walaupun terkilan sedikit melalui ‘usaha memerangkap’ saya melalui rakaman video ketika saya diajak berbincang makan tengahari untuk membincangkan hala tuju bolasepak Sarawak di salah sebuah hotel di bandaraya Kuching beberapa bulan yang lepas.’

Anda boleh membaca kenyataan penuh daripada FAS melalui petikan di bawah.

Video GB13

Sehari sebelum itu, GB13 telah menyiarkan sebuah video yang memetik Dato Posa berkata pihak FAS tidak pernah terlambat di dalam melangsai gaji pemain.

Sebaliknya, pembayaran gaji pemain dilaksanakan secara berperingkat.

Penyiaran video tersebut dipercayai dimuatnaik oleh GB13, setelah sebuah portal bebas yang sering melakukan liputan mengenai bola sepak Sarawak mendakwa mereka mendapat panggilan daripada individu yang tidak dikenali mengenai tunggakan gaji pemain Sarawak.

Sarawak Crocs terima panggilan

Ketika isu gaji pemain Sarawak semakin bertiup kencang diperkatakan, sebuah laman portal online, Sarawak Crocs mendakwa mereka menerima satu panggilan dari individu yang tidak dikenali mengenai tunggakan gaji pemain.

Individu tersebut dipercayai bukan warga Malaysia berdasarkan dialek yang digunapakai. Menurut pemanggil tersebut, pemain import sedia ada di dalam pasukan tidak menerima bayaran gaji sejak dari Januari lalu.

Manakala beberapa pemain tempatan turut tidak mendapat gaji sejak November tahun lalu. Untuk tujuan pengesahan, pihak Sarawak Crocs turut menghubungi ejen salah seorang pemain untuk tujuan pengesahan.

Walaupun enggan memberi komen lanjut, ejen berkenaan mendakwa pemain di bawah jagaan beliau sememangnya belum menerima bayaran sebagaimana yang sepatutnya daripada FAS.

Kenyataan GB13

Tegerak oleh kenyataan media oleh Presiden FAS dan juga isu yang menyelebungi bola sepak Sarawak, hari ini GB13 tampil dengan sebuah kenyataan rasmi.
Kenyataan tersebut menjelaskan pendirian gerakan GB13 sebagai kumpulan ultras yang memilih menyokong pasukan Sarawak secara sukarela, sekaligus mengambil tanggungjawab memastikan bola sepak Sarawak bersih dan bebas daripada segala bentuk ancaman.

Ini bermakna GB13 turut tidak akan memberi ruang kepada salah urus tadbir di dalam persatuan, termasuk kepada isu kelewatan pembayaran gaji pemain sekiranya ianya benar-benar berlaku.

Melalui kenyataan tersebut, GB13 turut menafikan pihak mereka cuba memerangkap Presiden FAS dengan menularkan video perbincangan mereka tempoh hari.

Sumber: GB13

“Tanggapan yang mengatakan GB13 menjadikan isu kelewatan pembayaran gaji sebagai alasan untuk memerangkap Presiden FAS adalah tiada asas sama sekali. Mengatakan GB13 telah menganiaya Presiden FAS pun tidak tepat kerana kami tidak pernah mengatakan Presiden tidak membayar gaji pemain.” ujar kenyataan tersebut.

GB 13 turut menjelaskan segala usaha mereka untuk mempertahankan bola sepak Sarawak tidak akan direncatkan dengan apa isu sekalipun, kerana perjuangan mereka tidak diandalkan kepada kepentingan peribadi.

Malah perjuangan mereka adalah untuk memastikan bola sepak Sarawak tidak menjadi mangsa atas kemelut yang menyelubungi persatuan tersebut.

“Kami akan bertemu dengan Presiden FAS dalam tempoh masa terdekat. Kami redha sekiranya anda tidak menyokong kami, tetapi fahamilah tindakan kami semuanya untuk bola sepak negeri Sarawak,” ujar GB13 mengakhiri kenyataan terebut.

Bola sepak di negeri Sarawak mulai menjadi tumpuan pemerhati bola sepak tanah air berikutan dua pemain skuad utama negeri tersebut ditahan oleh SPRM berikutan dakwaan mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan oleh pihak SPRM.

Ianya diikuti dengan kegagalan FAS untuk melengkapkan pendaftaran bersama FMLLP untuk pasukan tersebut bersaing secara sah di Liga Malaysia 2018.

Perkhabaran yang mengatakan gaji pemain tidak dibayar sejak 4 bulan yang lalu turut memberi indikasi FAS mempunyai masalah pengurusan dan krisis urus tadbir yang diragui terutama oleh penyokong.

Rumusan

Sebentar tadi, laporan daripada Berita Harian mengatakan FAS sebagai salah sebuah pasukan yang didenda RM500,000 kerana kegagalan mendaftarkan pasukan untuk saingan Liga Malaysia 2018.

Mungkinkah tiba masanya pihak pengurusan FAS lebih peka dan terbuka dan mengambil tindakan sewajarnya atas teguran penyokong?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN