Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 2-1 ditangan wakil dari Sweden, Ostersunds FK pada perlawanan timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Europa dalam aksi yang berlangsung di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Namun, keputusan tersebut tidak menghalang skuad bimbingan Arsene Wenger itu untuk mara ke pusingan seterusnya setelah menang dengan kiraan agregit 4-2.
Pasukan pelawat ternyata hadir ke London dengan misi yang jelas untuk mencapai kemenangan apabila berjaya mengejutkan tuan rumah dengan dua jaringan pantas pada minit ke-22 dan 23.
Gol pertama kelab yang diwujudkan pada tahun 1996 itu menjelma menerusi Hosam Aiesh yang menerima lorongan dari Saman Ghoddos.
Hosam yang membuat larian ke dalam kawasan penalti Arsenal kemudiannya melakukan percubaan yang terus sahaja menewaskan penjaga gol The Gunners, David Ospina.
Seminit kemudian, giliran Ken Sema pula mengejutkan Jack Wilshere dan rakan-rakan.
Sema berjaya mempamerkan kualiti kawalan bola yang baik telah melolosi kawalan dari Calum Chambers untuk melakukan rembatan yang sekali lagi merobek gawang Arsenal bagi menutup babak pertama dengan keputusan 2-0 memihak pasukan pelawat.
Bagi meningkatkan kreativiti dalam merencana gerakan, Arsene Wenger melakukan pertukaran pemain sebaik sahaja memasuki separuh masa kedua dengan memasukkan Granit Xhaka bagi menggantikan pemain muda, Ainsley Maitland-Niles.
Sead Kolasinac memberikan kelegaan buat kem Arsenal setelah pemain antarabangsa Bosnia ini berjaya meledakkan jaringan untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-47.
Kedudukan 2-1 pada permulaan separuh masa kedua itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus membawa Arsenal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Liga Europa.