Bayern Munich ternyata terlalu gah buat wakil Turki, Besiktas selepas pendahulu Bundesliga itu mencatatkan kemenangan besar pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung 5-0 di Allianz Arena.
Perlawanan dicemari dengan layangan kad merah seawal minit ke-16 selepas pemain pertahanan pelawat, Domagoj Vida diperintahkan keluar padang akibat kekasaran terhadap Robert Lewandowski.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Bayern Munich bagi mengekploitasi kekurangan seorang pemain yang dihadapi Besiktas pada perlawanan ini.
Jaringan pembukaan terhasil pada penghujung babak pertama menerusi Thomas Muller, berpunca daripada larian dari sebelah kanan pintu gol Besiktas yang dimulakan Kingsley Coman yang mencari David Alaba.
Hantaran dilakukan Alaba singgah di kaki Muller yang kemudiannya melakukan tolakan mudah untuk membolosi di celah kaki penjaga gol lawan, Fabri.
Memasuki babak kedua, Bayern Munich terus melancarkan asakan demi asakan yang tidak mampu lagi dihalang pertahanan serta penjaga gol Besiktas.
Kingsley Coman mencipta jaringan kedua buat skuad bimbingan Juup Heynckes pada minit ke-53 menerusi percubaan leret dalam kotak penalti hasil hantaran lintang dari Lewandowski.
Berpunca daripada satu lagi hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Besiktas melalui Joshua Kimmich, Thomas Muller menambah jaringan kedua peribadi beliau sekaligus merupakan jaringan ketiga buat Bayern.
Lewandowski menambah dua lagi jaringan pada minit ke-79 dan 88 untuk memuktamadkan kemenangan 5-0 bagi membawa bekalan selesa ke Vodafone Arena nanti.