Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich berjaya bangkit dari ketinggalan dua gol ketika bertemu Hoffenheim untuk menang 5-2 pada pertemuan di Allianz Arena semalam.
Bayern Munich dikejutkan seawal minit ke-2 selepas pelawat dihadiahkan sepakan penalti.
Pemain Bayern Munich yang dipinjamkan ke Hoffenheim, Serge Gnabry gagal menyempurnakan sepakan itu setelah Sven Ulreich bertindak cemerlang menepis sepakan tersebut.
Namun rakan sepasukan Gnabry, Mark Uth pantas melakukan percubaan susulan untuk jaringan pertama perlawanan.
Gnabry sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila mencipta jaringan kedua buat Hoffenheim pada minit ke-12.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Bayern Munich meningkatkan asakan dan memperkemaskan aksi untuk mencari peluang merobek gawang Hoffenheim yang dikemudi Oliver Baumann.
Skuad bimbingan Juup Heynckes berjaya menyamakan kedudukan pada babak pertama apabila Robert Lewandowski dan Jerome Boateng menjaringkan gol pantas pada minit ke-21 dan 25.
Pada babak kedua, giliran Kingsley Coman, Arturo Vidal dan Sandro Wagner pula menceriakan penyokong tuan rumah untuk kebangkitan hebat sekaligus menumbangkan lawan yang berada di tangga ke-9 liga itu.
https://www.youtube.com/watch?v=vbhgVifd2FI