Prestasi pemain import pasukan Perak dari Filipina, Misagh Medina Bahadoran dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini membimbangkan para penyokong skuad The Bos Gaurus tersebut.
Berdasarkan aksi persahabatan pasukan Perak menentang UiTM FC semalam, rata-rata penyokong meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan bekas pemain kelab Global itu.
Bercakap kepada Berita Harian, pengendali pasukan Perak, Mehmet Durakovic mengharapkan agar para penyokong memberi peluang kepada Bahadoran kerana beliau masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak Malaysia.
“Saya rasa tindakan itu (mengecam) tidak patut. Sebagai penyokong mereka sepatutnya beri sokongan dan galakkan kepada pemain itu. Memang mudah untuk mengkritik dan cari kesalahan orang,” katanya semalam.
“Harus ingat dia bukan calang-calang pemain kerana Bahadoran adalah kapten pasukan kebangsaan Filipina dan penjaring terbanyak pasukan lamanya.
“Dia baru menyertai pasukan tidak sampai tiga minggu dan sedang membuat penyesuaian dengan rakan dan pasukan serta cuaca dan keadaan sekeliling.
“Berilah peluang dan masa untuk dia mendapat persefahaman dan keserasian. Saya merayu kepada penyokong supaya membantu pemain saya ini bukannya menjatuhkan moral dan maruah mereka,” jelas Mehmet.
Durakovic turut berkata secara keseluruhan dia berpuas hati dengan aksi pemain dalam 5 perlawanan persahabatan pasukan itu setakat ini.
Minggu lepas, Misagh Bahadoran dan Wander Luis Bitencourt Junior telah diumumkan menyertai pasukan Perak The Bos Gaurus dalam satu sidang media yang berlangsung di Ipoh.
Kedua-dua pemain berjaya melepasi ujian kesihatan dan kecergasan yang dilakukan terhadap mereka.
Misagh Bahadoran yang sebelum ini dikaitkan dengan Kelantan, merupakan bekas ketua pasukan Global Cebu FC yang beraksi dalam Piala AFC musim lalu dan juga pemain skuad kebangsaan Filipina.
Pemain berusia 31 tahun yang merupakan seorang doktor gigi bertauliah itu bermain di posisi sayap kanan.
Difahamkan Misagh memilih Liga Malaysia kerana ingin merasai pengalaman untuk beraksi di liga, sistem, atmosfera dan jurulatih yang berbeza.