Bayern Munich berjaya merakamkan kemenangan ke-14 dalam 18 perlawanan Bundesliga setelah berjaya menewaskan Bayer Leverkusen 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di BayArena.
Kemenangan skuad bimbingan Juup Heynckes itu sekaligus meranapkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah yang dicatatkan Leverkusen dalam saingan liga.
Jaringan sulung Bayern Munich muncul pada minit ke-32 setelah Javi Martinez berjaya menyudahkan peluang dihadapan gol berpunca daripada sepakan percuma Arjen Robben yang ditanduk Arturo Vidal, gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Leverkusen.
Javi Martinez yang menunggu peluang tersebut melakukan rembatan yang sekaligus menewaskan Bernd Leno di gawang tuan rumah.
Gol kedua kelab gergasi Jerman itu hadir pada babak kedua menerusi ledakan hasil gerakan solo Franck Ribery yang meluru masuk ke dalam kotak penalti lalu melakukan rembatan untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-59 perlawanan.
Bayer Leverkusen kembali menghidupkan peluang sekurang-kurangnya untuk meraih keputusan seri apabila Kevin Volland berjaya mencipta jaringan hasil sepakan luar kotak penalti yang membias mengenai Niklas Sule, menerjah ke gawang pelawat untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1.
Bintang Colombia, Jamez Rodriguez melenyapkan sisa perjuangan Leverkusen untuk mencari jaringan penyamaan apabila sepakan percuma cantik dari pemain yang dipinjamkan dari Real Madrid tersebut memberikan jaringan ketiga buat Bayern Munich.
Jaringan pada masa kecederaan itu mengesahkan tiga mata berharga buat pendahulu Bundesliga tersebut untuk meninggalkan Schalke 04 ditempat kedua dengan kelebihan 14 mata.
Namun Schalke kekurangan satu perlawanan dan dijadualkan akan bertemu RB Leipzig pada pagi esok.