Pengadil berasal daripada Romania, Ovidiu Hategan yang telah menghadiahkan sepakan penati kemenangan buat Switzerland dalam perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia 2018, akhirnya mengakui kesilapannya.
Disebabkan kesilapannya itu, Switzerland telah berjaya menjaringkan satu-satunya gol dalam dua pertembungan dengan Ireland Utara dan menyebabkan impian Ireland Utara untuk ke Piala Dunia musnah.
November lalu, Hategan telah menghadiahkan sepakan penalti tersebut dalam pusingan pertama playoff yang berkesudahan dengan Switzerland menang 1-0 ke atas Ireland Utara.
“Ia saat yang menyedihkan dan bukanlah sesuatu yang baik buat saya,” ujar Hategan ketika ditemuramah oleh televisyen Romania, baru-baru ini.
“Sedih kerana saya membuat kesilapan itu dan ia menyakitkan kerana pada pihak kami, kami perlu menunjukkan persembahan yang baik.
“Dalam dunia pengadilan, ia adalah sama dengan penjaga gol, kesilapan anda akan disedari.” jelas pengadil yang pernah dianugerahkan pengadil terbaik Romania pada tahun lalu itu.
Hategan memberikan Switzerland penalti selepas mengatakan bola terkena tangan Corry Evans dalam kawasan penalti, walaupun rakaman jelas menunjukkan bola itu terkena bahunya.
Ricardo Rodriguez telah menjaringkan gol dan pasukan pelawat telah memenangi perlawanan tersebut, dan dengan keputusan seri tanpa jaringan di Basel, Ireland Utara gagal layak ke Piala Dunia.
Selepas perlawanan tersebut, ketua jurulatih Ireland Utara, Michael O’Neill yang jelas kecewa dengan insiden tersebut telah menggesa penggunakan teknologi video (VAR).
“Ia sangat mengejutkan pada era ini, apabila taruhannya begitu tinggi sehingga kesilapan sebegitu telah mengubah segalanya,” ujar O’Niell selepas perlawanan tamat.
“Ianya (VAR) wajar digunakan dalam apa jua keadaan ketika proses penentuan keputusan, yang lebih jelas dari apa yang kita lihat.
“Sepakan penalti yang diberikan dalam keadaan sebegitu, VAR akan menyelesaikannya dan mengatakan bahawa ianya jelas bukanlah penalti,” tambahnya lagi.
Walaupun Hategan adalah pengadil terbaik Romania pada tahun lalu, namun dia tidak tersenarai dalam senarai 36 pengadil yang akan ke Piala Dunia 2018, Rusia.
“Malangnya saya tiada dalam senarai 36 pengadil tersebut, tetapi saya akan lihat samaada saya akan dilantik sebagai pengadil video,” ujarnya.
Kesilapan kecil sebegini telah memusnahkan impian besar Ireland Utara untuk layak beraksi di Piala Dunia selepas menunggu lebih dari 30 tahun.
Tindakan pengadil tersebut mengakuinya secara terbuka juga pastinya sukar, namun ianya pasti didorong oleh sikapnya yang mahu berterus-terang.
Adakah pengadil di Malaysia juga pernah membuat kenyataan terbuka sebegini di media selepas berlaku kesilapan dalam pengadilannya? Dan adakah ianya perlu?