Pemain pertahanan termahal dunia, Virgil Van Dijk menjadi hero Liverpool apabila menjaringkan gol kemenangan lewat untuk menyingkirkan seteru sebandar, Everton daripada Piala FA.
Seperti perlawanan pertama, Liverpool menguasai penuh perlawanan ini. Mereka memiliki 61% penguasaan bola dengan 14 percubaan gol berbanding hanya 4 oleh Everton.
Liverpool mendapat penalti yang dianggap agak mudah apabila Adam Lallana dilihat terlalu mudah jatuh dengan sentuhan Holgate.
Dalam perlawanan sebelum ini, Everton turut mendapat penalti mudah apabila Calvert Lewin yang jatuh dengan kontak minima oleh Dejan Lovren.
Milner menyempurnakan penalti itu untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-35.
Pada minit ke-67, Everton menyamakan kedudukan dengan gol menarik oleh Gylfi Sigurdsson selepas permainan kombinasi yang sangat baik.
Namun begitu, Liverpool memastikan penguasaan mereka kali ini tidak hampa apabila Virgil Van Dijk menyempurnakan umpanan Alex Oxlade Chamberlain daripada sepakan penjuru.
Virgil Van Dijk yang memenangi pertarungan di udara. Pickford yang cuba mencabar bola itu, gagal melakukannya.
Itu adalah gol pertama Van Dijk untuk Liverpool pada hari debut beliau selepas melakukan perpindahan daripada Southampton dengan nilai £75 juta. Van Dijk hampir membuka akaun jaringan lebih awal sebelum itu.
Kemenangan ini menjadikan Liverpool masih lagi me’merah’kan Merseyside dengan rekod 16 perlawanan derbi tanpa sebarang kekalahan setakat ini.
Everton yang sebelum ini cemerlang di bawah Allardyce dengan berjaya tak kalah dalam 7 perlawanan pertama, kini sedang melalui 3 kekalahan berturut-turut.
Pertemuan Liverpool vs Everton dalam Piala FA adalah sebanyak 24 perlawanan, terbanyak dalam sejarah pertemuan Piala FA.
Dalam perkembangan lain, Everton mengumumkan kedatangan Cenk Tosun secara rasmi pada separuh masa pertama perlawanan.