Kelantan FA terpaksa melupakan hasrat mengambil khidmat penyerang kelahiran Croatia, Marko Simic pada musim depan selepas gagal mencapai persetujuan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai kadar gajinya.
Menurut laporan laman Instagram Kelantan FC – Prode and Soul, Simic dikatakan tidak bersetuju dengan kadar gaji yang ditawarkan oleh KAFA yang lebih rendah daripada jangkaannya.
https://www.instagram.com/p/BdMl1f2nMcU/
Sebelum ini kami melaporkan Marko Simic telah pun mencapai persetujuan verbal dengan KAFA untuk mengepalai jentera serangan The Red Warriors pada musim 2018 nanti.
Ini adalah berdasarkan laporan BERNAMA yang memetik kenyataan Presiden KAFA, Bibi Ramjani bahawa penyerang yang berusia 29 tahun ini bersedia untuk berkompromi dengan beberapa perkara dalam kontraknya dan bakal tiba di Kota Bharu pada hari Khamis ini untuk menandatangani kontrak.
Berdasarkan sumber yang kami perolehi, Kelantan dijangka akan meneruskan pencarian pemain import terakhir mereka untuk musim depan dengan mengenalpasti antara 2 calon penyerang Brazil.
2 pemain Brazil tersebut adalah Cesar Augusto yang bermain untuk Yangon United di liga Myanmar dan Bruno Lopes yang bermain untuk Persija Jakarta di liga Indonesia.
Kelantan turut mempunyai L’imam Seydi, penyerang yang tidak diluluskan pendaftarannya oleh FMLLP pada pertengahan musim 2017, dalam skuad mereka ketika ini. Beliau telah diturunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Maklumat ringkas Cesar Augusto
Nama penuh: César Augusto Hermenegildo
Umur: 31 tahun
Tempat kelahiran: Monte Azul Paulista, Brazil
Tinggi: 1.82 m
Posisi: Penyerang
Kelab musim lepas: Yangon United
Fakta menarik: Pemain pertama dalam liga Myanmar yang mencipta rekod jaringan 100 gol. Rekod dicipta pada tahun 2015.
Maklumat ringkas Bruno Lopes
Nama penuh: Bruno da Silva Lopes
Umur: 31 tahun
Tempat kelahiran: Coritiba, Brazil
Tinggi: 1.81 m
Posisi: Penyerang/penyerang sayap
Kelab musim lepas: Persija Jakarta
Fakta menarik: Banyak ditempatkan di posisi sayap ketika bermain di Persija Jakarta kerana adanya kehadiran Bambang Pamungkas di posisi penyerang utama. Pernah dipuji oleh FourFourTwo Indonesia kerana rajin dan mempunyai teknik rembatan jarak jauh yang cemerlang.