Manja Man Mahu Kembalikan Semula Zaman Kegemilangan Perlis

Ketua jurulatih baharu pasukan Perlis, Manja Man menyasarkan untuk membawa pasukan bimbangannya itu ke Liga Perdana pada musim 2019.

Manja yang baru diamanahkan tanggungjawab itu berkata, semangat Singa Utara perlu dihayati setiap pemain demi membangkitkan semula pasukan itu yang bakal beraksi dalam Liga FAM pada 2018 selepas menduduki tangga tercorot Liga Perdana musim ini.

“Semua orang tahu Perlis amat sinonim dengan gelaran Singa Utara. Tapi, kini, ia sekadar tinggal nama serta tidak pernah dihayati oleh pemain yang mewakili negeri itu sekarang.

“Malah, saya berpendapat, kejatuhan Perlis daripada salah sebuah kuasa bola sepak ke Liga FAM kerana pemain tidak mempunyai semangat Singa Utara dalam diri mereka.

“Kebanyakan mereka hanya bermain kerana gaji, bukan dengan kesungguhan untuk melihat Perlis kembali menjadi pencabar.

“Sikap serta mentaliti seperti inilah yang perlu dikikis jika Perlis mahu kembali sebagai pasukan yang disegani. Saya tidak akan berkompromi dalam soal ini dan hanya akan memilih mereka yang benar-benar mahu berjuang bersama pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Manja yang merupakan bekas pemain pertahanan Perlis pada era 1980-an dan 1990-an itu akan dibantu oleh dua jurulatih iaitu Shamsyahril Shuib dan Ahmad Jazree.

Beliau pernah menjadi pembantu kepada ketua jurulatih, Abd Rahman Ibrahim semasa Perlis bersaing dalam Liga Super pada 2006 dan melatih pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis menghadapi kejohanan bola sepak antara pusat-pusat pengajian tinggi dari 2012 hingga 2016.

Sepanjang bawah bimbingannya, UiTM Perlis muncul juara dua kali pada 2012 dan 2013 dan naib juara pada 2014, 2015 dan 2016.

“Pasukan Perlis sekarang dibarisi pemain muda, kebanyakannya bekas pemain Piala Presiden Perlis dan beberapa negeri serta 10 pemain musim 2017 seramai 25 orang, justeru saya rasa lebih mudah membentuk pasukan Perlis.

“Dalam latihan yang bermula minggu lepas, saya menekankan keazaman, kesungguhan dan disiplin untuk mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Perlawanan sparing antara Pasukan Utama Perlis FA menentang Pasukan Piala Presiden Perlis FA minggu lepas. FOTO: Perlis FA

Manja juga lebih rela mencari bakat anak tempatan melalui sesi pemilihan berbanding membeli pemain luar kerana yakin anak jati akan lebih mudah untuk menerima falsafah bola sepaknya.

Ia tidak terkecuali kepada pemain yang mewakili pasukan itu dalam aksi Liga Perdana musim ini serta pemain skuad Piala Presiden.

“Pengalaman bermain dalam Liga Perdana atau Piala Presiden bukan keutamaan kerana saya hanya akan memilih berdasarkan prestasi semasa serta kesungguhan mereka.

“Sasaran saya bukan sekadar mahu membawa Perlis kembali ke Liga Super malah beraksi dalam final Piala Malaysia pada 2023 sebagai memenuhi permintaan kelab penyokong kepada PFA (Persatuan Bolasepak Perlis),” ujarnya

Perlis, negeri terkecil di Semenanjung itu pernah menjadi kuasa besar bola sepak negara apabila menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2004 dan 2006 di samping muncul juara Liga Super 2005.

Zaman kegemilangan Perlis ketika menjuarai Piala Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia

Sementara itu, kerja pembaikan lampu limpah Stadium Tuanku Syed Putra di sini akan dilakukan bulan depan bagi membolehkan perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan Perlis akan diadakan pada sebelah malam.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Shaharuddin Ismail berkata kerja pembaikan itu dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.

“Liga akan bermula awal Mac. Diharap lampu limpah dapat dibaiki sebelum sepak mula nanti,” katanya pada majlis memperkenalkan barisan kejurulatihan PFA dan jersi Singa Utara 2018 dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, 14 pemain PFA diberikan surat tawaran dan menandatangani kontrak untuk tempoh setahun. Shaharuddin berkata 60 peratus daripada tawaran itu adalah kepada anak Perlis bagi mengekalkan identiti skuad Singa Utara.

“Pemilihan pemain untuk mewakili pasukan masih lagi berjalan, dan diharap bakal pemain dapat menunjukkan kesungguhan untuk dipilih mewakili pasukan,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN