Bekas pemain Manchester United, Andrei Kanchelskis percaya skuad bimbingan Jose Mourinho itu akan memudahkan tugas jiran setempat, Manchester City untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini seandainya mereka tumpas ditangan pendahulu liga tersebut pada pertembungan derbi Manchester minggu ini.
Kanchelskis yang juga pernah beraksi bersama Manchester City setelah dipinjamkan oleh Rangers pada tahun 2001 turut menyifatkan United mempunyai peluang yang cerah untuk mengurangkan jurang mata dalam saingan liga ketika ini pada perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu.
Bagaimanapun sekiranya skuad bimbingan Pep Guardiola berjaya mencuri tiga mata keatas United, Kanchelskis beranggapan Manchester City sudah berjaya menamatkan persaingan bagi merebut kejuaraan liga dengan lebih awal.
”Sudah tentu sekiranya United dapat memenangi kedua-dua perlawanan derbi ini, mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menjuarai liga. Tetapi sekiranya mereka tewas pada Ahad ini semuanya akan berakhir. Tidak akan ada peluang lagi,” ujar bekas pemain dari Russia ini.
”Jurangnya akan menjadi 11 mata. Tak mungkin. 11 mata itu terlalu jauh.”
”Ketika saya bermain bersama City, kami bukan sebuah pasukan yang besar. Mereka (Manchester City) sekadar ‘OK’ dan pada perlawanan derbi, kami perlu bekerja dengan begitu keras kerana United adalah pasukan yang dominan ketika itu.”
”Kini terdapat perubahan besar. City mempunyai stadium baru, pemain baru, pengurusan baru dan anda dapat lihat apa yang berlaku ketika ini.”
Andrei Kanchelskis yang menjaringkan hatrik sewaktu pertemuan derbi Manchester pada November 1994 ketika bersama The Red Devil berharap United akan dapat memperoleh kemenangan pada perlawanan tersebut.
”Saya mengharapkan United dapat memenangi perlawanan kerana mereka memerlukan tiga mata. Jurang lapan mata ketika ini juga amat besar. Mereka memerlukan sesuatu yang istimewa untuk memenangi perlawanan ini.”