Kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri keatas Hannover terus meletakkan Bayern Munich terus kekal di persada Bundesliga dengan kelebihan 6 mata meninggalkan RB Leipzig ditangga kedua.
Kemenangan ini nyata melegakan Jupp Heynckes selepas skuad kendaliannya tewas mengejut ke atas Borussia Monchengladbach minggu lalu.
Arturo Vidal terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke 17 apabila beliau melonjak tinggi untuk menanduk hantaran Thomas Muller.
Gol dari Vidal itu juga merupakan gol ketiga berturut-turut dalam 3 perlawanan liga sekaligus mencipta rekod peribadi beliau dalam Bundesliga.
Hannover berpeluang menyamakan kedudukan, namun Niclas Fullkrug gagal memanfaatkan sepakan penalti yang diperoleh.
Namun, kekecewaan itu berjaya ditebus Charlison Benschop yang bijak menyudahkan sepakan penjuru pada minit ke 36 sekaligus menambah gusar Bayern Munich.
Kingsley Coman dan penjaring terbanyak Bundesliga ketika ini, Robert Lewandowski menjaringkan gol pada babak kedua bagi mengesahkan mata penuh buat Bayern.
Dalam pada itu, Julian Nagelsmann berjaya menamatkan kemarau kemenangan Hoffenheim dan menjadikan RB Leipzig sebagai mangsa terbaharu.
Kemenangan 4-0 di laman sendiri sedikit mencalar reputasi Leipzig yang dilihat berpeluang menyaingi Bayern Munich di persada liga.
Serge Gnabry ternyata mencuri tumpuan selepas menyumbang 2 gol dalam perlawanan itu dan paling menarik apabila beliau berjaya menjaringkan gol dari jarak 40 meter.
Kekalahan Leipzig di arena lawan meletakkan pasukan ini semakin goyah dan mungkin ditolak Monchengladbach sekiranya pasukan ini menang ke atas Wolfsburg awal pagi ini.
Begitu juga nasib yang menimpa Schalke yang memiliki motivasi yang tinggi selepas bangkit dan mengikat Dortmund minggu lepas.
Semangat itu bukanlah tiket mudah untuk mengutip 3 mata di laman sendiri, sebaliknya pasukan tercorot FC Koln berjaya mengikat kedudukan 2-2 seterusnya berjaya mengutip mata yang ketiga selepas 14 perlawanan.
Keputusan seri ini nyata merugikan anak-anak buah kendalian Domenico Tedesco selepas berada di tempat ketiga liga dan berisiko ditolak Monchengladbach seperti nasib yang bakal menimpa Leipzig.
Sementara itu, satu lagi perlawanan yang turut mencuri tumpuan semalam melibatkan pertembungan Borussia Dortmund dan Bayer Leverkusen.
Perlawanan yang berlangsung di Bay Arena itu seakan tampak memihak Leverkusen selepas penjaring terbanyak kategori pemain tempatan Jerman, Kevin Volland berjaya meledak gol ke 9 peribadinya.
Namun, tempo permainan nyata merencatkan tuan rumah selepas bantuan ‘Video Assistant Referee’ (VAR) membuatkan Wendell Borges dibuang padang selepas mengasari Gonzalo Castro.
Bermain 10 orang nyata memberi kelebihan buat pelawat dan akhirnya Dortmund berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain dari Ukraine, Andriy Yarmolenko pada minit ke 73.
Serangan bertali arus cuba dilancar untuk menamatkan kemarau kemenangan buat skuad kendalian Peter Bosz, namun disiplin pemain-pemain Leverkusen tetap utuh bertahan dan menyaksikan Leverkusen berjaya menahan rekod tanpa kalah selepas 9 perlawanan.
Keputusan perlawanan Minggu ke 14:
Freiburg (0) v (0) Hamburg SV
Mainz (1) v (3) FC Augsburg
Bayer 04 Leverkusen (1) v (1) Borussia Dortmund
FC Bayern Munich (3) v (1) Hanover 96
TSG 1899 Hoffenheim (4) v (0) RB Leipzig
Werder Bremen (1) v (0) VfB Stuttgart
Ahad:
FC Schalke 04 (2) v (2) Cologne
Hertha Berlin v Eintracht Frankfurt (22.30pm)
Isnin: VfL Wolfsburg v Borussia Moenchengladbach (1.00am)