Pablo Cannavaro memberikan satu kenyataan yang agak kontroversi mengenai Persekutuan Bola Sepak Itali atau lebih dikenali sebagai Federazione Italiana Giuoco Calcio (FIGC), dengan menggelar individu-individu yang menguruskan badan induk tersebut sebagai ‘mumia’.
Cannavaro turut menuding jari kepada pemain asing yang beraksi di dalam kancah bola sepak di Itali sebagai antara punca kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia.
Pasukan yang mendapat jolokan ‘The Azzurri’ itu tewas dengan agregat 1-0 kepada Sweden selepas melalui 2 perlawanan pusingan play-off zon eropah yang diadakan secara timbal balik.
Walaupun mencatat keputusan seri 0-0 dalam perlawanan di San Siro pada malam tadi, ia sekadar mengesahkan kegagalan mereka untuk ke pusingan akhir Piala Dunia yang akan dianjurkan oleh Rusia pada musim panas tahun hadapan.
Dalam satu muat turun di laman media sosial peribadi Instagram miliknya, Cannavaro dipetik sebagai berkata:
“Kepada semua, kita bukannya hilang (gagal layak) Piala Dunia pada hari ini. Kita telah kehilangan Piala Dunia sejak 15 tahun yang lalu.”
“Terima kasih untuk semua duit yang dibawa masuk ke Itali oleh bola sepak dari seluruh dunia. Itali telah membawa masuk kegagalan daripada seluruh dunia, dan mencuri peluang daripada pemain tempatan kita sendiri.”
Pablo Cannavaro adalah pemain pertahanan Sassuolo dan juga adik kepada pemenang Ballon d’Or, Fabio Cannavaro.
“Itali telah memberikan mereka kejayaan dan juga kemasyuran. Terima kasih juga kepada jurulatih dari Itali yang masih dinobatkan sebagai antara yang terbaik di dunia.”
“Saya cuma mengharapkan kejatuhan bola sepak kita pada hari ini telah menyedarkan kita agar bola sepak Itali mengalami reformasi!”
“Selamat tinggal juga buat semua mumia yang telah mengawal bola sepak Itali juga yang bertanggungjawab telah menafikan peluang kepada anak muda Itali selama ini. Terima kasih.”
Dalam muat turun yang sama Cannavaro turut memberikan penghargaan buat Gianluca Buffon yang telah beraksi di dalam 5 edisi Piala Dunia sejak kali pertama ketika kejohanan tersebut diadakan di Perancis.
“Sekalung penghargaan buat Gigi Buffon yang dinafikan penampilan dalam kejohanan Piala Dunia ke-6. Walaupun kecewa, Buffon masih berani tampil di hadapan kamera. Saya mengharapkan tangisan beliau adalah titisan air mata yang terakhir kerana bola sepak Itali.”
“Mari kita beri sokongan kepada generasi baru bola sepak Itali. Mari kita kembali menjadi Itali yang dicemburui oleh ramai kerana bola sepak yang kita miliki.”
“Malang sekali kegagalan sebegini harus mengambil tempat untuk membangkitkan kita dari lena dan memberi kesedaran.”
Kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 sejak kali terakhir gagal ke kejohanan tersebut lebih kurang 60 tahun yang lalu mendapat pelbagai respon dari rakyat Itali sendiri serta dari seluruh pelusuk dunia.