Nelo Umum 24 Pemain Skuad Harimau Malaya Menentang Korea Utara

Ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada telah memanggil 24 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Sabtu ini (4 November 2017) sebagai persediaan menghadapi dua perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November 2017.

Menurut laman web rasmi FAM, 16 pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat sebelum ini pada 4 hingga 11 Oktober lalu telah dikekalkan Vingada untuk panggilan kali ini termasuk dua pemain, Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang) yang tidak dibawa ke Hong Kong, masing-masing kerana kecederaan dan urusan kecemasan keluarga.

Lapan pemain yang digugurkan terdiri daripada penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim, Khairul Helmi Johari, Akram Mahinan, Fitri Omar dan Syazwan Zainon (Kedah), Amirulhadi Zainal (JDT) serta Matthew Davies (Pahang) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC) yang mengalami kecederaan.

Sebagai ganti, Vingada telah menyenaraikan lapan nama baharu terdiri daripada penyerang skuad B-22 kebangsaan, Syafiq Ahmad (Kedah) serta tujuh pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, Afiq Fazail, S Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Bagi kem latihan pusat kali ini, 10 pemain dari Perak, Pahang, Selangor, Felda United dan Pulau Pinang akan melapor diri pada Sabtu ini, 4 November sementara baki lagi 14 pemain dari JDT dan Kedah akan melapor diri pada Isnin, 6 November kerana terlibat dengan Final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Buriram melalui Bangkok pada hari Selasa, 7 November.

Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.

Setakat ini skuad Harimau Malaya masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN