Rumusan Prestasi Musim 2017: Pahang FA Lebih Tajam Di Depan Gol Berbanding 2015 Dan 2016

Moh buat balik!

Mungkin ini ungkapan yang sinonim dalam kalangan penyokong pasukan Pahang dalam membawa cabaran sepanjang kempen Liga Malaysia musim 2017 hasil cetusan ilham Y.A.M Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni  Sultan Ahmad Shah yang jelas ingin bangkit dari kisah sedih musim 2016 yang lalu.

Meskipun skuad Tok Gajah gagal membawa pulang sebarang piala musim ini, semangat yang dipamerkan oleh kem pasukan Pahang dan para penyokongnya nyata positif. Sehinggakan mampu bangkit dari kisah hitam 2016 dan berjaya meletakkan Pahang sebagai pencabar utama kepada pasukan-pasukan elit dalam liga tempatan.

Naib juara Liga Super, naib juara Piala FA dan dinobatkan sebagai 8 pasukan terbaik dalam kempen Piala Malaysia membuktikan Pahang kembali berada dalam kelasnya tersendiri.

Mana tidaknya, skuad yang baru dibentuk dan dianggap sebagai skuad ‘refurbished‘ barisan pemain-pemain elit satu masa dahulu, Pahang nyata mengejutkan ramalan pemerhati bola sepak tempatan terutamanya dalam kancah saingan Piala FA.

Naib Juara Piala FA

Bangkit dari ketinggalan 2 gol pada separuh masa pertama ke atas JDT II di Pasir Gudang, skuad kendalian Dollah Salleh ketika itu seakan mengimbau kembali aura raja kebangkitan seperti dibuktikan musim 2013 apabila membenam tuan rumah 2-4 seterusnya layak ke pusingan seterusnya.

Perlawanan separuh akhir Piala FA sekali lagi Pahang mengundang kejutan apabila berjaya menundukkan JDT melalui kiraan agregat seterusnya membuktikan skuad Tok Gajah tidak perlu menunggu lama untuk kembali membuat penampilan di pentas akhir Piala FA.

Foto: Tokgajah.com/Faiz Ishak

Bermain dengan jiwa, dan itulah corak permainan sebenar pasukan Pahang. Itulah bait-bait kata pengendali Pahang, Dollah Salleh yang menceritakan perihal anak-anak buahnya pada separuh masa kedua saingan akhir bertemu kedah.

Walaupun dikira agak terlambat, namun semangat untuk bangkit jelas terpancar seterusnya mengangkat skuad Pahang dalam branding yang tersendiri oleh segelintir peminat bola sepak berkecuali.

Naib Juara Liga Super

Bergelar selaku naib juara liga Super adalah pencapaian yang amat membanggakan.

Berbekal 40 mata, 9 mata dibelakang juara liga (JDT), dilihat sangat relevan meskipun tidak mampu memenuhi harapan besar penyokong setia Tok Gajah yang mahu menamatkan penantian 13 tahun mendakap trofi Liga Super.

Namun begitu, ada beberapa perkara positif yang dicatatkan Pahang dalam saingan liga berbanding musim-musim terdahulu.

Foto: Tokgajah.com/Faiz Ishak

Antaranya:

(1) berjaya menamatkan kemarau kemenangan liga ke atas Sarawak di Kuching dalam 6 edisi percubaan sejak musim 2004,

(2) mengumpul 19 mata berbanding 17 mata pada musim 2015 ketika turut muncul naib juara liga dibelakang JDT,

(3) Memperbaiki margin goal difference dari +14 (musim 2015) kepada +18 gol bagi musim ini,

(4) peningkatan kekerapan menjaringkan gol pada setiap perlawanan berbanding musim 2016 dan 2015.

Memang diakui, semuanya tampak sempurna dalam beberapa siri perlawanan awal Liga Super, namun kurang konsisten terutamanya selepas liga berehat jelas menggagalkan Pahang untuk bergelar juara.

Piala Malaysia

Meskipun gagal menyamai pencapaian musim 2015 iaitu bergelar 4 pasukan terbaik, setidak-tidaknya ia dapat memperbaiki prestasi musim 2016 apabila sekadar terkandas di peringkat kumpulan.

Harus menyalahkan diri sendiri dengan gagal menggunakan kelebihan 3-1 di Kuantan, kekalahan ke atas Perak dalam saingan suku akhir kedua perlu diambil sebagai pengalaman yang berguna terutama kepada para pemain muda yang akan menggalas cabaran musim hadapan.

Turut diakui, Pahang berada dalam keadaan yang tertekan sebelum dapat mengiringi PKNP FC untuk mara ke saingan suku akhir.

Mujurlah mereka mampu berpesta gol di Kuantan sebelum bergelut dengan PKNP di Ipoh pada perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan.

Kesimpulan

36 perlawanan sepanjang musim 2017 dilihat mampu mematangkan skuad Pahang yang baru dibentuk semula ini.

Meskipun jumlah perlawanan gagal menyamai statistik perlawanan pada musim 2013 (39), 2014 (40) dan 2015 (46 perlawanan), namun ia merupakan satu pendedahan yang sangat berguna – terutamanya buat dua tonggak Pahang, Nor Azam Azih (gambar bawah) dan Matthew Davies.

Mereka berjaya mencuri tumpuan ketika bersama skuad Malaysia dalam kejohanan sukan SEA.

Foto: Media PBNP

Dalam pada itu, beberapa pemain yang diharap mampu menjadi game changer dilihat kurang berkesan dan situasi ini perlu diberi fokus dalam menyediakan sebuah pasukan yang boleh bertahan dalam disiplin endurance berbanding disiplin sprint kejohanan domestik.

Ini kerana, ingin bergelar sang juara terutama dalam kejuaraan liga, ternyata konsistensi adalah kunci utama berbanding bergelar juara dalam kejohanan bersifat karnival seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Inilah yang masih belum dibuktikan Pahang selepas menjuarai Liga Super musim pertama (2004).

Berikut merupakan sedikit trivia skuad Tok Gajah sepanjang musim 2017:

  1. Bright Dike dan Matheus Alves yang baru sahaja dipasangkan sebagai penyerang tidak menunggu lama untuk meledak dan masing-masing mencatat nama sebagai penjaring pada perlawanan pertama mereka menentang T-Team di Kuantan.
  2. Pahang membuka dan menutup tirai musim 2017 dengan keputusan seri, kedua-dua perlawanan berakhir dengan jaringan yang sama dan ke atas pasukan yang sama iaitu Perak.
  3. Nuriddzuan Abu Hassan yang masuk sebagai pemain gantian di Larkin hadir pada waktu yang amat tepat untuk melorongkan bola kepada Sumareh seterusnya membawa Pahang ke pentas akhir Piala FA.
  4. Pahang terus gagal menang ke atas Selangor di tempat sendiri dalam saingan liga selepas beberapa tahun mencuba.
  5. Dua jenama sukan yang berbeza bersama Pahang (Jako dan FILA)
  6. Mathew Davies dan Alves antara 2 pemain yang selalu diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN