Kapten Valencia Daniel Parejo mendedahkan bagaimana pengurusan kelab berkenaan yang diketuai oleh Marcelino mengawal pemakanan pemain-pemain kelab tersebut sehingga beliau sendiri kehilangan berat sebanyak 5kg.
Bekas pengurus Sevilla dan Villarreal, Marcelino memberikan impak segera kepada prestasi semasa Valencia sejak mengambil alih kelab berkenaan pada musim panas lalu.
Kini, Valencia berada di tangga ke-2 La Liga, hanya 4 mata di belakang pendahulu liga Barcelona.
Impak kehadiran Marcelino bukan sekadar pada keputusan cemerlang yang dicapai oleh Valencia. Tetapi kecemerlangan Valencia setakat ini lebih kepada perubahan kepada pemain mereka yang memiliki tahap kecergasan yang lebih baik.
“Saya hilang 5kg sejak berada di bawah kendalian Marcelino,” ujar Parejo kepada media di Sepanyol, Football Espana.
“Saya berasa sangat selesa dan cergas. Mungkin saya tidak selesa pada mulanya. Saya sentiasa rasa lapar dan seperti tidak bermaya. Itu disebabkan tubuh badan ini sudah biasa dengan kebiasaan makanan yang diambil, dan ia turut melibatkan sedikit sebanyak aspek psikologi.”
Valencia have won six consecutive LaLiga games for the first time since January 2007.
WWWWWW
23 goals scored in the process. 🔥 pic.twitter.com/6YFYcw2HUD
— Squawka (@Squawka) October 28, 2017
Marcelino adalah seorang jurulatih yang terkenal dengan kaedahnya yang mementingkan keadaan fizikal pemain-pemain. Diet pasukannya dikawal dengan rapi, dan setiap pemain akan diuji tahap nutrisi secara harian. Di pusat latihan, berat setiap pemain turut akan dipamerkan.
Marcelino juga bersikap amat tegas perihal pemakanan sehingga tersebar perkhabaran dari bekas pemain yang pernah dikendalikan oleh beliau, bahawa mereka terpaksa berlapar kerana takut berat naik walaupun sebanyak 1 gram.
Namun di sebalik disiplin pemakanan yang ketat oleh Marcelino, Parejo memuji kaedah yang diterapkan oleh pengendali berkenaan. bagi kapten Valencia itu, perubahan yang mereka alami turut memberi perubahan positif kepada teknik mereka ketika beraksi dan berlatih di atas padang.
“Sekarang saya berasa lebih pantas. Malah saya berpendapat pergerakkan saya lebih tangkas daripada sebelum ini. Untuk itu, saya sangat gembira dengan perubahan kepada sistem diet oleh Marcelino. Ia jelas adalah kesukaran yang berbaloi.”
“Marcelino telah membawa banyak perubahan dalam tempoh masa yang singkat. Beliau memberi kami idea baru untuk bermain bola sepak sekaligus mentransformasikan kami. Persediaan sebelum perlawanan sangat terperinci.”
“Sistem dan kaedah yang dibawa oleh Marcelino menunjukkan setiap persiapan disediakan dengan sangat teliti. Beliau juga adalah seorang pengurus yang mahu setiap pemain kendaliannya faham akan kaedah yang beliau terapkan.”
Kapten berusia 28 tahun itu beraksi bersama Valencia hampir sepanjang karier profesionalnya setakat ini. Parejo turut menganggap Marcelino sebagai contoh seorang jurulatih yang bagus selain daripada Ernesto Valverde di Barcelona.
Daniel Parejo turut sedang mengusahakan lesen kejurulatihannya bersama UEFA pada ketika ini.