Gomez Dan Sathia Ramal JDT Juara Piala Malaysia 2017

Bekas ketua jurulatih JDT,  Mario Gomez menyifatkan semangat yang ada dalam diri pemain JDT untuk menghadiahkan Piala Malaysia yang belum pernah dibawa pulang untuk penyokong Johor sejak tahun 1991, menjadi azimat terbaik untuk melepasi halangan terakhir itu.

“Saya boleh katakan peluang kedua-dua pasukan 50-50 untuk jadi juara kerana mereka pasukan terbaik di Malaysia ketika ini. Kedah akan beraksi buat kali ketiga berturut-turut di final dan mereka juga juara bertahan, jadi dari segi pengalaman pasti memihak mereka.

“Tapi JDT ada kekuatan tersendiri, mentaliti inginkan kemenangan, mentaliti sebagai juara ada dalam pasukan ini. Semangat mereka untuk menghadiahkan trofi buat penyokong setia boleh dijadikan faktor kejayaan kali ini,” katanya kepada Berita Harian.

Ketika membimbing JDT selama dua tahun sejak 2015, Gomez gagal membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Tetapi beliau dianggap antara jurulatih import yang berjaya dalam kancah bola sepak tempatan apabila membantu kelab dari Selatan itu merangkul kejuaraan Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.

Mario Gomez

Gomez juga menjangkakan pertembungan JDT dan Kedah pasti menjanjikan aksi yang sengit dan terbaik untuk peminat bola sepak tempatan.

“Perlawanan antara JDT dan Kedah sentiasa sengit, tak kira dalam apa perlawanan sekali pun. Kedah menang dalam perlawanan Piala Sumbangsih awal tahun ini, tapi untuk JDT tiada tekanan buat mereka.

“Saya tak datang menyaksikan perlawanan itu, mungkin saya menontonnya menerusi internet saja di sini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan turut memilih skuad kendalian Ulisses Morais sebagai pilihan utama untuk muncul juara Piala Malaysia apabila turun berdepan Kedah di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

“Kalau dilihat kepada barisan pemain, sepatutnya Johor DT menjadi juara. Mereka patut jadi juara sebab mereka ada segala-galanya.

“Melihatkan kepada tonggak berbakat mereka, memiliki kemudahan canggih serta mempunyai bos (pemilik Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang terbaik mereka patut memenanginya, ” katanya kepada Berita Harian.

Begitupun, Sathianathan menegaskan Kedah bukanlah lawan yang mudah untuk ditumbangkan dan mampu mencipta kejutan sekali gus mempertahankan trofi itu buat kali kedua berturut-turut.

“Tapi Kedah seperti yang anda tahu, mereka mampu membawa elemen kejutan seperti yang disajikan ketika menewaskan pasukan saya (FELDA United) di separuh akhir tempoh hari.

“Mereka beraksi tanpa khidmat pemain utama seperti Liridon Krasniqi, Ken Ilso dan Khairul Helmi Johari yang ditimpa kecederaan dan penggantungan masih dapat mara ke final dengan menggunakan khidmat pemain muda.

“Ini kelebihan Kedah yang harus diawasi dan seandainya Johor DT ambil mudah, saya kira Piala Malaysia akan kekal di negeri Jelapang Padi itu buat musim kedua,” katanya.

Pada final musim lalu, skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff berjaya membalas kekecewaan final 2015 apabila menumbangkan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN