Thailand mungkin bangga dengan kejayaan menjuarai Sukan SEA dan juga Piala AFF B-19 sebelum ini. Namun peminat Thailand masih resah dengan situasi bola sepak di Thailand.
Bagi mereka, walaupun menang 2 kejohanan tersebut, bola sepak Thailand sebenarnya berhadapan dengan kemerosotan prestasi dan semakin hilang identiti selepas pemecatan Kiatisuk Senamuang.
Kiatisuk sebelum itu mendapat tekanan hebat daripada penyokong kerana kekalahan dalam beberapa perlawanan. Namun beliau tetap berjaya membentuk DNA bola sepak Thailand kepada permainan bola sepak moden.
Taktikal Kiatisuk telah membolehkan pemain seperti Chanathip Songkrasin menadi pemain lebih baik dalam peranan baka moden central winger .
Penyerang seperti Theerasil Dhangda juga berjaya menjadi antara penyerang digeruni.
Era Kiatisuk, beliau hanya memilih pemain yang sesuai dengan falsafah bola sepak moden. Beliau juga mahu pemain tidak terhad kepada sistem bek berempat. Beliau mahu pemain ada kemampuan bermain sistem bek bertiga.
Ketegasan Kiatisuk ini membuatkan jurulatih di peringkat belia/remaja lebih fokus kepada pemebentukan cara permainan yang sesuai dengan pasukan senior.
Agak ironi, di sebalik keresahan peminat, pengendali digelar Zico Thailand ini turut gagal untuk membentuk bola sepak dalam acuan beliau di peringkat kelab.
Terbaru, beliau meletakkan jawatan sebagai jurulatih Port FC hanya selepas 10 perlawanan. Kiatisuk bertanggungjawab di atas kehambaran prestasi pasukan tersebut.
Peminat agak berbelah bagi dengan perletakan jawatan ini kerana ada yang berpandangan Kiatisuk bukan masalah utama prestasi hambar Port FC.
DI peringkat kebangsaan, DNA bola sepak moden yang ditanam Kiatisuk kini semakin dilupakan. Thailand bermain hanya untuk menang.
Dalam perlawanan Sukan SEA menentang Malaysia, skuad Thailand jelas bermain dengan sistem bola sepak serangan balas.
Mereka bernasib baik kerana kesilapan penjaga gol Malaysia menghadiahkan pingat emas kepada mereka.
Ia bukan perlawanan menentang pasukan Jepun atau Korea Selatan. Sebelum ini Thailand dikenali dengan sistem bola sepak yang aktif untuk berhadapan dengan kejohanan serantau.
Dalam perlawanan B-19 menentang Malaysia, media dengan jelas memberitahu Malaysia pasukan yang lebih menyerang dan Thailand lebih kepada pasukan bertahan.
Thailand dianggap bernasib baik dalam 2 final tesebut oleh peminat mereka. Seorang peminat Thailand menulis di laman sosial:
“Thailand bermain teruk (Sukan SEA) tetapi semua orang lupa dan tidak kisah hanya kerana Thailand menang emas! Bola sepak kita dalam bahaya.” Dalam ranking dunia pula, Thailand jatuh beberapa anak tangga.
Keresahan penyokong berlarutan apabila skuad B-16 mereka tewas tipis 1-0 di tangan Indonesia dalam perlawanan Rabu lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Indonesia dengan mudah boleh menang dengan margin lebih besar jika mereka tidak membazirkan peluang.
Dalam separuh masa pertama,skuad Garuda muda itu memiliki 4 atau 5 peluang keemasan, namun hanya dapat menjaringkan 1 gol menerusi Amanar Abdillah.
Nampaknya bola sepak Thailand perlu mengkaji semula aspek taktikal mereka. Mereka perlu mencari jurulatih yang betul dengan memegang satu falsafah bola sepak yang sama di semua peringkat.
Mereka mungkin boleh melupakan DNA bola sepak free flowing seperti yang ditanam Kiatisuk tetapi mereka tetap perlukan satu sistem permainan yang tetap (recognized).