AMD: Skuad Elit, Hasil Program Pembangunan Bolasepak Negara

Kemunculan sulung produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) untuk aksi kelayakan Kejohanan AFC B-16 yang dijangka bermula pada Rabu ini telah menjadi buah mulut di kalangan penyokong dan pemerhati bolasepak tempatan.

Rata-rata tidak sabar untuk melihat hasil program yang telah dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 10 April 2014 tersebut. Malah ada yang mengharapkan skuad ini akan dapat mengembalikan martabat dan maruah skuad negara.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan, semua rakyat Malaysia mahu melihat perubahan dalam senario bolasepak tempatan. Dan dengan kewujudan PPBN ini, sedikit sebanyak telah memutikkan kembali harapan semua untuk melihat perubahan dalam arena bolasepak negara.

Ada yang bertanya mengenai skuad elit yang dimaksudkan dalam artikel Semuanya BOLA sebelum ini. Jadi, pihak kami telah menghubungi Ketua Bahagian Media dan Komunikasi, Faliq Firdaus, untuk mendapatkan sedikit pencerahan mengenai status skuad sulung PPBN itu.

Pengarah PPBN, Lim Teong Kim

Lim Teong Kim merupakan pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ketua jurulatih bagi program pembangunan elit pemain muda negara. Pengalamannya bersama skuad remaja Bayern Munich sepanjang 12 tahun pastinya dapat membantunya dalam membentuk prospek muda negara.

Berikut merupakan kenyataan pedas yang pernah dikeluarkan oleh Teong Kim pada tahun 2007 ketika kembali ke tanahair bersama-sama skuad Bayern Munich untuk menyertai kejohanan Champion Youth Cup (CYC) 2007.

Lim Teong Kim Pernah Membuat Kenyataan Pedas Mengenai Bolasepak Negara Pada 2007.

“Apabila bolasepak di sini masih sama selepas bertahun-tahun, bagaimana kita boleh mengharapkan perubahan kepada tahap permainan?

“Kenapa kita berterusan mengkritik barisan pemain ketika ini atas kegagalan mereka, sedangkan tiada siapa pun yang mempedulikan tentang pembangunan bolasepak,” tegas Teong Kim kepada media ketika itu.

Namun pada 2013, YB Khairy Jamaluddin telah berjaya memujuk bekas pemain negara itu untuk kembali menabur bakti di tanahair. Teong Kim adalah sebahagian dari skuad emas Sukan SEA 1989 dan telah menyumbang tiga gol dalam temasya tersebut.

YB Khairy Jamaluddin Adalah Watak Penting Membawa Pulang Lim Teong Kim Ke Malaysia. Foto: NORAFIFI EHSAN / The Star.

“Saya pernah berada di sini sebelum ini dan menyatakan negara kita ketinggalan dari segi aspirasi dan infrastuktur. Tetapi kita perlu mula buat perubahan dari sekarang. Setiap individu ada peranan masing-masing dan pemikiran masyarakat juga mesti berubah.

“Saya ingin mencurahkan segala ilmu saya kepada jurulatih dan pemain muda,” jelas Teong Kim sambil menyatakan PPBN merupakan cabaran terbesar buatnya sekembalinya ke tanahair.

Struktur Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN)

“Semua pemain yang berada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) adalah pemain elit,” jelas Faliq Firdaus yang turut menyatakan dalam hierarki PPBN, AMD berada di kedudukan teratas dan dipecahkan kepada AMD B-15, AMD B-14 dan AMD B-13 pada ketika ini.

Untuk setiap skuad tersebut, kouta maksimum pemain adalah 50 orang untuk setiap peringkat umur dan pada ketika ini, bagi skuad AMD B-15, jumlah pemain yang sedang berlatih bersama Lim Teong Kim adalah 46 orang.

Skuad B PPBN Untuk Kejohanan AFF B-15, Julai lalu. Foto: NFPD Malaysia.

46 pemain ini pula telah dibahagikan kepada skuad A dan B atau lebih dikenali sebagai Cougars dan Tigers. Untuk skuad A, ketua jurulatihnya adalah Teong Kim dan dibantu oleh Raja Azlan Shah, sementara skuad B dikendalikan oleh Wan Rohaimi Wan Ismail.

Yang menariknya, setiap pemain tersebut tidak semestinya kekal di dalam skuad elit PPBN. Prestasi para pemain akan sentiasa dipantau oleh barisan kejurulatihan dan perubahan pemain sentiasa berlaku bergantung kepada prestasi pemain tersebut.

Skuad Elit PPBN Yang Membawa Cabaran Negara Di Kelayakan Kejohanan AFC B-16. FOto: NFDP Malaysia.

“Kalau kita tengok perkembangan semasa, memang ada perubahan (senarai pemain). Bergantung kepada prestasi. Ada yang prestasi menurun, mereka akan diturunkan pangkat ke Sekolah Sukan Negeri (SSN), malah sehingga ke Pusat Latihan Daerah (PLD).

“Bila ada peningkatan prestasi, mereka akan kembali ke skuad elit. Malah, ada juga dari skuad A ke skuad B dan begitu juga sebaliknya. Maknanya ‘talent pool’ untuk B-15 sahaja, kita ada beribu pemain!” tambah Faliq lagi kepada Semuanya BOLA.

PPBN telah membahagikan strukturnya kepada lima peringkat. Setiap peringkat ini pula telah dipecahkan mengikut peringkat umur dengan Akademi Tunas boleh dianggap sebagai langkah permulaan bagi setiap pemain.

Struktur PPBN. Foto: Planet Bola.

Ringkasan setiap peringkat dalam struktur PPBN:

Akademi Tunas

  • 7 hingga 12 tahun.
  • 45 Akademi Tunas seluruh negara dan akan ditambah secara berperingkat.

Pusat Latihan Daerah (PLD)

  • 13 hingga 17 tahun.
  • 62 pusat sedia ada dan akan ditambah secara berperingkat.

Sekolah Sukan Negeri (SSN)

  • 13 hingga 17 tahun.
  • Semua SSN dikekalkan pada jumlah sedia ada pada ketika ini.

Akademi Mokhtar Dahari (AMD)

  • 13 hingga 17 tahun.
  • Kemuncak kepada landasan PPBN.

Akademi Mokhtar Dahari (AMD)

Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dilancarkan bersama-sama PPBN kini dalam proses naik taraf dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2018. Ianya terletak di Gambang, bersebelahan SSM Pahang, dan berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Dipetik berkata kepada media pada Mac lalu, Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar memaklumkan bahawa Fasa I proses naik taraf terutamanya padang sudah selesai dan sedia digunakan.

Padang Di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang. Foto: Faliq Firdaus.

Semuanya BOLA merujuk kepada Faliq mengenai status terkini proses naik taraf tersebut. Menurutnya PPBN akan memiliki sepuluh padang bolasepak dan pada ketika ini, lima telah siap dan sedang digunakan oleh AMD.

PPBN menggunakan tiga jenis rumput untuk padang bolasepak miliknya iaitu rumput jenis Cow Grass, Bermuda dan rumput tiruan. Rumput jenis bermuda itu diambil dari Stadium Bukit Jalil.

“Semua kemudahan lain masih dalam proses pembinaan antaranya gymnasium, pusat rehabilitasi, asrama dan sebagainya,” jelas Faliq lagi sambil memaklumkan ianya dijangka siap menjelang November ini.

Pintu Gerbang Akademi Mokhtar Dahari. Foto: Perbadanan Stadium Malaysia.

Faliq juga memaklumkan buat masa ini, semua pemain AMD menetap di UMP dan SSM Pahang. Dan para pemain ini akan ditempatkan semula di AMD apabila segalanya sudah lengkap nanti.

Sementara itu, AMD dilihat tidak meminggirkan aspek pelajaran kepada para pemainnya. Selain dari memiliki skil dan fizikal yang baik di padang, otak yang cergas juga mampu melahirkan pemain yang bijak. Para pemain AMD ketika ini bersekolah di SSM Pahang.

“Mereka akan berlatih pada waktu petang, setiap hari, termasuk pada hari Sabtu. Ahad dan Khamis pula dijadualkan sebagai ‘recovery day’ untuk para pemain menjalani proses pemulihan,” ujar Faliq kepada Semuanya BOLA mengenai jadual latihan para pemain.

Penutup

Itu adalah sebahagian ceritera daripada Akademi Moktar Dahari (AMD) yang cuba penulis dapatkan. Kisahnya masih panjang dan di masa akan datang, mungkin akan ada lagi kisah menarik mengenai produk-produk PPBN atau lebih dikenali sebagai NFDP ini.

Adakah pemain-pemain itu wajah masa depan bola sepak negara? Dimanakah mereka 2,3 tahun akan datang? Adakah projek ini akan diteruskan demi kejayaan bola sepak negara di peringkat Asia mahupun dunia? Apa pun, inilah pengenalan kepada skuad elit AMD, produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN