Tengah hari tadi kami telah menyiarkan sebuah artikel bertajuk 5 Sebab Kenapa Philippe Coutinho Harus Berhijrah Ke Barcelona.
Pelbagai reaksi yang kami perolehi daripada pembaca kami. Kami mahu pembaca kami tahu, bahawa Semuanya BOLA adalah platform yang adil di dalam membuat penilaian.
Kali ini kami tampilkan untuk anda, 5 sebab mengapa Philippe Coutinho harus kekal di Liverpool.
1. Coutinho gembira Di Anfield
Mengapa harus Coutinho pergi jika beliau gembira berada di Liverpool?
Kebiasaannya seseorang pemain akan menginginkan perpindahan sekiranya cita-cita pemain tersebut tidak relevan dengan apa yang kelab ingin capai.
Jika pemain tersebut tidak gembira berada di negara berkenaan sepertimana yang dihadapi oleh Luis Suarez, maka idea perpindahan juga masuk akal.
Namun bagi kes Coutinho, pemain ini sering kali menyatakan kegembiraannya dengan kehidupan di England. Ketika ditanya mengenai khabar angin perpindahan beliau pada Mei yang lalu, Coutinho menjelaskan:
“Saya gembira mendengar sebuah kelab yang hebat menunjukkan minat. Ia sangat bermakna untuk semua usaha dan kerja keras yang telah saya lakukan.”
“Saya hanya perlu terus bekerja keras. Liverpool adalah sebuah kelab yang hebat. Sasaran saya ialah untuk mengembalikan kegemilangan Champions League kepada Liverpool.”
Kegembiraan beliau untuk terus kekal di Anfield dibuktikan dengan menandatangani kontrak baharu sekaligus menjadikan Coutinho pemain yang mendapat bayaran tertinggi di Anfield.
Adanya Coutinho bersama Liverpool adalah penting dalam usaha kelab berkenaan untuk bersaing merebut semua trofi yang dipertandingkan.
2. Legenda Anfield dalam pembikinan
Philippe Coutinho memasuki musim ke-5 di Mersyside setelah berpindah dari Inter Milan pada Januari 2013.
Populariti Coutinho di Liverpool seiring dengan peningkatan prestasi dan kualiti teknikalnya di atas padang.
Pada usia 25 tahun, pemain berjersi No.10 di Liverpool ini memiliki tahun-tahun yang hebat menantinya. Buat masa ini, Coutinho merupakan penjaring dan penyumbang bantuan gol tertinggi dari Brazil di EPL.
Peningkatan prestasi Coutinho juga selari dengan revolusi di Liverpool sejak Klopp mengambil alih kelab berkenaan. Perkembangan ini hanya merupakan perkara postif buat Coutinho dan juga Liverpool.
Ini juga bermakna Philippe Coutinho mempunyai peluang untuk memberikan impak sebagaimana Steven Gerrard telah lakukan.
Apa yang perlu dilakukan oleh Coutinho seterusnya ialah untuk memimpin Liverpool menjulang trofi, maka beliau selayaknya akan bergelar legenda di Anfield.
Lebih dari itu, Coutinho juga mampu untuk tampil sebagai pemain terbaik di England jika prestasi semasanya terus dipertingkatkan.
Juergen Klopp memberikan sebab yang sama ketika meyakinkan Coutinho dengan kontrak baharu pada Januari lalu.
“Kekal di Anfield, dan akhirnya kami akan membina tugu untuk memperingati jasa anda, Pergilah ke Barcelona, Bayern Munich atau pun Real Madrid, dan anda akan kekal sebagai seorang pemain biasa,” ujar Juergen Klopp.
3. Klopp ‘factor’
Adalah menjadi impian setiap pemain dari benua Amerika Latin untuk beraksi bersama pasukan seperti Barcelona. Prospek untuk bergandingan dengan Lionel Messi, Iniesta dan Suarez bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
Bagaimanapun projek di Barcelona tidak sama seperti apa yang ingin Klopp bangunkan di Liverpool.
Kelab Catalan tersebut membawa masuk Ernesto Valverde sebagai pengurus baharu untuk memastikan Barcelona beraksi dengan gaya yang sinonim dengan cara mereka.
Musim lalu, Luis Enrique dikritik kerana membawa pendekatan taktikal bola tinggi (direct football), berpaksikan kebolehan teknikal dan skill serangan 3 serangai Neymar-Suarez-Messi.
Valverde akan mengubah pendekatan sedemikian pada musim akan datang.
Di Liverpool, Klopp telah membina asas kepada corak permainan Liverpool dan Coutinho adalah titik fokal kepada permainan menyerang pasukan.
Kebanyakkan pemain di dalam skuad Liverpool termasuk Coutinho telah menunjukkan peningkatan dan berada pada usia sekitar 24-27, usia yang dianggap sedang berada di dalam kemuncak prestasi di dalam bola sepak.
Klopp telah berjaya mengadun sebuah pasukan Liverpool yang mampu bermain sebagai sebuah unit. Kebijaksanaan taktikal yang diterapkan oleh pengendali Jerman itu turut membuahkan hasil.
Klopp juga telah membuktikan dirinya seorang pengurus yang gemar membentuk pemain penyerang pada usia yang muda, dan ini adalah satu kelebihan untuk Coutinho.
4. Bayang-bayang Messi
Salah satu sebab mengapa Neymar mahu meninggalkan Barcelona adalah kerana tidak mahu dibayangi oleh Lionel Messi.
Anda mungkin mempunyai hujah, gandingan Coutinho-Suarez-Messi akan menjadi trio yang digeruni di Nou Camp. Namun segala kegemilangan akhirnya hanya akan dimiliki oleh Lionel Messi.
Tanpa Neymar, isu untuk berada di dalam kesebelasan utama mungkin tidak akan timbul. Namun demikian, keberadaan Coutinho bersama Barcelona pasti akan sentiasa akan dibuat perbandingan dengan rakan sepasukan antarabangsa Brazil itu.
Di Liverpool, Coutinho adalah pemain No.10 dan merupakan watak utama Liverpool. Tidak ada bayangan dari mana-mana pemain yang akan menghantui beliau, dan ia terpulang kepada Coutinho sendiri untuk merencana kegemilangan bersama Liverpool.
Selain daripada itu, Coutinho tidak perlu dibebankan dengan tanda harga yang pasti mencecah £100 juta, sekiranya perpindahan ke Nou Camp berlaku.
Tanda harga tersebut mungkin boleh menjadi lebih tinggi, mengambil kira kelab Inggeris tidak mengamalkan klausa perpindahan di dalam kontrak pemain
Bukankah ini turut memberi sebab yang lebih wajar untuk Coutinho kekal di Anfield?
5. Piala Dunia 2018
Penghujung musim 2017/18, demam Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia akan melanda. Kita semua tahu bagaimana Brazil dilimpahi dengan bakat luar biasa di posisi serangan.
Coutinho sudah pun memperagakan kehebatan beliau terutama ketika membantu Brazil menewaskan Argentina pada pusingan kelayakkan Piala Dunia yang lalu.
Tanyakan kepada Roberto Firmino. Tidak semudah itu untuk menjamin tempat di dalam barisan kesebelasan utama skuad Brazil.
Mengambil kira hal ini, maka perpindahan ke Barcelona boleh dianggap sebagai langkah yang mengundang risiko buat Philippe Coutinho terutama jika beliau gagal beraksi secara kerap.
Perpindahan Neymar ke PSG bermakna posisi serangan di sebelah kiri adalah milik Coutinho jika beliau mengambil keputusan untuk menyertai Barcelona.
Ini tidak bermakna Barcelona tidak akan membawa masuk pemain lain untuk bersaing dengan Coutinho di posisi tersebut. Pemain Borussia Dortmund, Ousmane Dembele turut berada di dalam radar kelab Catalan berkenaan.
Kehadiran Dembele bermakna Coutinho juga akan beraksi di posisi tengah yang kini diisi oleh Andres Iniesta. Sukar?
Di Liverpool, situasinya berbeza. Nama Coutinho adalah antara nama pasti di dalam senarai kesebelasan utama, jika cergas sepenuhnya.
Liverpool turut memberi ruang buat Coutinho untuk terus meningkatkan prestasi dan kebolehan individu.
Sudah pasti Liverpool adalah platform yang lebih menarik jika dibandingkan dengan Barcelona sebelum membintangi pasukan Brazil di Rusia pada musim panas akan datang.
Ketika perebutan tempat ke Piala Dunia menjadi taruhan, berbaloikah Coutinho mengundang risiko sebegitu?
Sumber:
1. Jamie Carragher, Sky Sports (2017): Philippe Coutinho will stay at Liverpool until the end of the season, says Jamie Carragher; http://www.skysports.com/football/news/29327/10979021/philippe-coutinho-will-stay-at-liverpool-until-the-end-of-the-season-says-jamie-carragher
2. Jack Lusby, This Is Anfield (2017): Adam Lallana tips Philippe Coutinho to stay and “achieve huge things” at Liverpool; https://www.thisisanfield.com/2017/07/adam-lallana-tips-philippe-coutinho-stay-achieve-huge-things-liverpool/
3. Steven Kelly, ESPN (2017): Only Philippe Coutinho stay will help Liverpool break cycle of failure; http://www.espn.in/football/club/liverpool/364/blog/post/3165418/only-philippe-coutinho-stay-will-help-liverpool-break-cycle-of-failure
4.Felix Keith, Squawka (2017): Philippe Coutinho confirms desire to stay at Liverpool: “We can rival clubs like Barcelona”; http://www.squawka.com/news/philippe-coutinho-confirms-desire-to-stay-at-liverpool-we-can-rival-clubs-like-barcelona/889133#w2FhoJWBi5qqLz5r.97