Awal pagi tadi kira-kira jam 3:30 pagi waktu tempatan di Malaysia, telah termeterai perpindahan pemain yang merupakan perpindahan termahal di dalam sejarah bola sepak dunia.
Neymar sah meninggalkan Barcelona untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG). Persoalan terbesar yang mungkin bermain di minda peminat sukan bola sepak ialah:
Bagaimanakah perpindahan pemain antarabangsa Brazil ini dinilai pada harga €222 juta?
Berdasarkan kajian Pusat Pengajian Sukan Antarabangsa Untuk Bola Sepak (CIES Football Observatory), Neymar adalah pemain paling bernilai dalam kalangan 5 liga bola sepak teratas di Eropah.
Laporan yang dibentangkan oleh CIES pada Jun lalu mendedahkan Neymar bernilai £186 juta.
Sebulan kemudian, timbul idea dari PSG untuk menambah £15.5 juta, untuk menyamai klausa yang terkandung di dalam kontrak Neymar di Barcelona.
Kaedah penilaian
Penilaian yang dibentangkan pada Jun lalu menunjukkan dominasi pemain-pemain muda seperti Dele Alli (€153 juta) dan Harry Kane (€151.5 juta) masing-masing di kedudukan ke-2 dan ke-3, mengatasi nilai Lionel Messi (€150 juta).
Beberapa faktor utama diambil kira untuk tujuan penilaian.
Prestasi pemain, posisi, pengalaman, pengaruh dan status dalam perlawanan antarabangsa, tempoh kontrak, jenis pertandingan dan juga keputusan perlawanan- semua diambil kira sebagai faktor penilaian.
Mari kita kembali kepada Neymar.
Neymar hanya berusia 25 tahun. Namun demikian, Neymar sudah memenangi 2 gelaran La Liga, 1 UEFA Champions League, telah menjaringkan 105 gol dari 186 penampilan untuk Barcelona sejak menyertai kelab Catalan itu dari Santos pada 2013.
Di pentas antarabangsa, Neymar beraksi untuk Brazil dan sudah menjaringkan 52 gol daripada 77 penampilan.
Neymar juga telah menandatangani kontrak baharu selama 5 tahun bersama Barcelona pada Oktober tahun lalu. Status kontrak adalah salah satu penyumbang kepada faktor tanda harga rekod dunia Neymar.
Data di atas padang
Neymar mencatatkan 2,652 minit aksi di La Liga pada musim lalu. Walaupun rekod jaringannya tidak setanding dengan Lionel Messi dan Luis Suarez, Neymar masih mencatat purata 0.44 gol untuk setiap perlawanan.
Neymar juga mencipta banyak peluang jaringan, menyamai jumlah bantuan gol yang disumbangkannya pada musim lalu.
Secara purata,Neymar telah mencipta tidak kurang dari 3 peluang untuk jaringan gol dalam setiap perlawanan.
Daripada kebanyakan peluang jaringan yang dimiliki oleh Neymar, satu hadir dari gerakan set-pieces. Neymar turut memiliki 84% kemungkinan untuk menjaringkan gol dari sepakan percuma berbanding dengan purata jaringan penyerang di 5 liga utama di Eropah.
Neymar juga turut merekodkan jumlah yang lebih tinggi untuk purata hadangan dan perebutan, satu elemen yang kurang diambil berat oleh seorang pemain penyerang.
Purata 11 gelecekan dalam setiap perlawanan oleh Neymar juga jauh lebih banyak berbanding 3 secara purata oleh penyerang-penyerang di 5 liga utama Eropah.
Neymar turut memiliki jumlah sentuhan dan hantaran bola yang lebih tinggi.
7 hantaran lintang untuk setiap perlawanan juga melangkaui purata yang dilakukan oleh pemain lain di La Liga yang melakukan hanya 3 hantaran. Skill menggelecek Neymar juga turut menarik 60% foul lebih kerap untuk pasukannya berbanding penyerang-penyerang lain di La Liga.
Neymar punyai satu kelemahan ketara. Kebolehan untuk memenangi bola tinggi bukanlah sesuatu yang digemari oleh pemain ini.
Pada musim lepas, Neymar hanya menjaringkan 1 gol dari tandukan. Secara purata, ia adalah 64% lebih rendah dengan berbanding penyerang-penyerang lain di Eropah.
Nilai Pemasaran
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Indeks Sukan Brandtix, Neymar merupakan pemain ke-3 tertinggi dari segi nilai pemasaran.
Indeks yang menunjukkan kedudukan nilai pemasaran pemain dijana menggunakan satu alogaritma yang mengambil kira faktor seperti jumlah pengikut di media sosial dan data aksi di atas padang.
Neymar mempunyai 169.2 juta pengikut di Instagram, Facebook dan juga Twitter. Untuk rekod, 758,000 mengikuti akaun sosial media Neymar dalam tempoh seminggu sebelum penghasilan artikel ini.
Hanya Cristiano Ronaldo memiliki jumlah penyokong yang lebih ramai di media sosial iaitu 285.5 juta pengikut.
1/3 daripada pengikut Neymar di media sosial adalah dari negara kelahirannya Brazil (34%), diikuti oleh Perancis (17%), Sepanyol (10%), USA (5%) dan Argentina (3%)).
Malah jumlah pengikut Neymar adalah 4 kali ganda yang mengikuti PSG yang mempunyai 43.3 juta pengikut. Muat naik di laman Instagram Neymar mampu menarik lebih dari 2 juta ‘Likes’, setiap kali ia dilakukan.
Rumusan
Banyak pihak telah mempersoalkan tanda harga £200 juta yang ada pada Neymar. Ada juga yang tidak memahami mengapakah Paris Saint-Germain berani melakukan pelaburan sebesar begitu.
Berdasarkan kajian di atas, kita boleh menyimpulkan satu perkara. Neymar mungkin akan memberi pulangan berlipat kali ganda kepada jenama PSG itu sendiri satu hari nanti.
Atau adakah sebaliknya yang akan berlaku?
“Saya berpendapat Neymar adalah pemain yang mahal. Sekarang anda akan memiliki ramai pemain pada harga £100 juta, sebelum ini £80 juta dan juga £60 juta sebelum itu. Maka itulah masalah sebenarnya. Masalah sebenarnya bukanlah Neymar. Tetapi masalah sebenarnya ialah akibat oleh perpindahan Neymar” – Jose Mourinho
Sama-sama kita renungkan kata-kata Mourinho di atas. Apa pendapat pembaca kami? Berbaloikah pembelian Neymar oleh PSG? Apakah impaknya?
Bincangkan di ruangan komen. Kami mahu mendengar daripada anda!
Sumber:
1. Cork Gaines, Business Insider Malaysia (2017): http://www.businessinsider.my/how-much-neymar-salary-transfer-fee-psg-2017-8/?r=US&IR=T
2. Adam Smith, Sky Sport (2017): Neymar to PSG: Why is the Brazilian worth £200m?; http://www.skysports.com/football/news/11096/10971830/neymar-to-psg-why-is-the-brazilian-worth-198m