Pemilik Newcastle United yang juga merupakan pemilik rangkaian sukan terkenal Sports Direct, Mike Ashley telah memenangi satu perbicaraan di mahkamah tinggi dengan seorang pakar pelabur perbankan, Jeffrey Blue berkenaan satu perjanjian yang dimeterai di sebuah kelab malam di London.
Kes berkenaan berkisar akan dakwaan Blue yang mengatakan Ashley telah bersetuju untuk membayar beliau sejumlah £15 juta jika saham Sport Direct meningkat dua kali ganda kepada £8.
Persetujuan Ashley didakwa dilakukan ketika pemilik Sport Direct itu sedang minum pelbagai jenis minuman beralkohol dengan Jeffrey Blue dengan kuantiti alkohol yang dikategorikan sebagai tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Justice Leggatt menyifatkan kes tersebut sebagai unik, dan perpendapat apa sahaja yang dikatakan di kelab malam oleh Ashley tidak sepatutnya diambil serius.
Ashley tidak menghadirkan diri ke mahkamah ketika hakim membacakan perbicaraan. Namun peguam kepada pemilik Newcastle United itu berkata, Ashley adalah pemenang mutlak dalam kes berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Mike Ashley dipetik sebagai berkata:
“Satu-satunya sebab saham Sport Direct melangkaui nilai £8 adalah kerana usaha setiap individu yang berada di dalam syarikat.”
Ashley turut memberikan bukti kepada mahkamah ketika perbicaraan, berkata beliau tidak dapat mengingati bilakah perjanjian dengan Blue dilakukan.
Ashley bagaimanapun mengaku bahawa terdapat pertemuan dengan Blue dan 3 lagi pakar kewangan di Horse & Groom Pub, London dan mereka meminum alkohol dalam kuantiti yang tinggi.
“Saya tidak boleh mengingati butiran perbualan pada malam itu. Apa yang saya tahu, kami minum alkohol dalam kuantiti yang banyak.”
“Saya juga mengingati bahawa kami banyak bergurau pada malam itu.”
“Jika saya ada berkata seperti apa yang didakwa oleh Blue, itu bermakna saya turut berkata sedemikian terhadap semua orang. Saya tidak serius.”
Bagaimanapun, Ashley mengaku ada menyerahkan wang berjumlah £1 juta kepada Blue, tetapi untuk urusniaga yang lain.
Hakim akhirnya tidak menerima dakwaan Jeffrey Blue dan mengarahkan Blue untuk membayar semua kos guaman Mike Ashley dalam kes tersebut.
Mike Ashley bukanlah watak yang popular di kalangan penyokong Newcastle United terutama jika ia membabitkan pelaburan beliau terhadap cita-cita kelab tersebut.
Newcastle United akhirnya akan kembali bersaing di dalam Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan selepas muncul juara Football League Championship pada musim lalu di bawah bimbingan Rafael Benitez.
Sumber:
1. BBC (2017): Sports Direct boss Mike Ashley wins £15m court case; http://www.bbc.com/news/uk-england-40727521
2. Ashley Armstrong, The Telegraph (2017): Mike Ashley wins High Court fight over £15m deal he dismissed as ‘pub banter’;
http://www.telegraph.co.uk/business/2017/07/26/mike-ashley-wins-high-court-fight-15m-deal-dismissed-pub-banter/.