Sempena ulang tahun ke-150 Kanada yang disambut pada kelmarin (1 Julai), kami membawakan artikel khas mengenai liga bola sepak negara itu.
Semua maklum, Kanada mempunyai kelab yang bermain di dalam liga jirannya, Amerika Syarikat.
Vancouver Whitecaps dan Montreal Impact beraksi dalam saingan MLS. Begitu juga Toronto. Edmonton menyertai saingan NASL manakala Ottawa Fury beraksi di dalam saingan USL.
Ingin ketahui apa beza MLS, NASL dan USL? Boleh klik ke pautan ini: Debut Wan Kuzain di USL, Apakah Perbezaan NASL dan USL? Ini Penjelasannya!
Tapi kenapa Kanada tiada liga sendiri?
Sebenarnya liga bola sepak di Kanada memang wujud. Tetapi ia lebih diadakan di peringkat wilayah yang di dalam Kanada.
Meskipun namanya Canadian Soccer League. Tambah perit, FIFA tidak menganggap liga mereka sebahagian sistem liga domestik negara itu.
FIFA mengiktiraf MLS sebagai liga Kanada walaupun majoriti kelab bermain itu dianggotai Amerika Syarikat.
Bercampur
Memang sudah menjadi tradisi liga-liga sukan profesional di Amerika Syarikat, mereka akan mempelawa kelab Kanada. Bukan sahaja liga bola sepak tetapi ia turut berlaku kepada liga bola keranjang (NBA), hoki ais (NHL) dan bola sepak Amerika (NFL).
Kelab-kelab liga sukan di sana berkonsepkan francais. Kelab diberi kelulusan beroperasi sekiranya ada syarat dipenuhi. MLS menerima banyak bidaan francais untuk membuka kelab dan bertanding dalam saingan itu. Begitu juga NASL dan USL.
Anda masih ingat mengenai kenapa ada kelab Wales bermain di liga Inggeris? Jika sudah terlupa, singgahlah ke pautan ini: Kenapa Kelab Dari Wales Suka Bermain di Liga Inggeris?
Namun kelima-lima kelab Kanada ini tidak dibenarkan menyertai US Open Cup. Sebagai ganti, kelab Kanada bertarung dalam saingan Canadian Championship.
Kejohanan ini diwujudkan mulai 2008. Toronto menjadi kelab paling banyak memenanginya iaitu 6 kali. Pemenang Canadian Championship meraih tiket ke CONCACAF Champions League.
Canadian Premier League
The Canadian Premier League has received unanimous support to join Canada Soccer. #CANPL
— Canada Soccer (@CanadaSoccerEN) May 6, 2017
Awal Mei lalu, Canadian Soccer Association memutuskan untuk membentuk Canadian Premier League. 10 bandaraya di sekitar negara itu telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan pasukan sendiri.
Antara bandaraya tersebut ialah Hamilton dan Winnipeg. Namun, kelab-kelab di liga negara jirannya masih belum memberikan pendirian rasmi mengenai penyertaan ke Canadian Premier League.
Toronto contohnya dikhabarkan menghadapi krisis. Toronto II yang bermain di USL menyatakan hasrat berpindah ke liga baru itu walaupun pasukan utama beraksi dalam saingan MLS.
Tetapi sebahagian penyokong mereka membantah hasrat itu. Bagi mereka lebih baik Toronto yang bermain dalam liga baru itu bersifat bebas dan berasingan daripada pengurusan Toronto di dalam MLS.
Konklusi
Jika dilihat penubuhan Canadian Premier League ini mirip dengan sejarah penubuhan MLS. Ia berlaku tatkala FIFA memberikan mandat penganjuran Piala Dunia 1994.
USSF lantas membentuk MLS sebagai ‘janji ditepati’ kepada FIFA. Itu yang barkemungkinan dilalui pengurusan bola sepak Kanada itu.
Piala Dunia 2026 hampir pasti ke Amerika Utara. Kanada menjadi salah satu negara yang menjadi calon. Adakah liga baru itu akan mencabar MLS?
Manalah tahu liga itu mampu menjadi lebih baik, menarik daripada MLS. Lagipun, MLS agak rumit nak difahami. Tidak sabar untuk menanti kewujudannya!
Sumber:
- Canadian Soccer Association (2017); Canada soccer enters new era with approval of Canadian Premier League. Sumber: http://canadasoccer.com/canada-soccer-enters-new-era-with-approval-of-canadian-premier-league-p160774
- Pacheco, Maximilian, Walking The Red (2017); Canadian Premier League: What we know so far about CPL soccer. Sumber: https://www.wakingthered.com/2017/5/12/15628730/canadian-premier-league-cpl-soccer-hamilton-winnipeg-canpl