Malaysia tumbang dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 selepas kalah 1-2 dengan Lubnan dalam perlawanan yang mendebarkan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor Bharu malam tadi.
Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Mahali Jasuli. Pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya pula menjaringkan 2 gol dari bangku simpanan untuk menjadi hero Lubnan.
Malaysia pertaruh 4-2-3-1
Turun dalam perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada mempertaruhkan sistem 4-2-3-1. Ahmad Hazwan Bakri mengetuai jentera serangan sambil diapit Syazwan Zainon dan Mahali Jasuli di sayap kiri dan kanan.
Di bahagian tengah, Amirulhadi Zainal yang mendapat kritikan kerana kegagalannya menggalas tugas no.6 di JDT diberi kepercayaan menggalas tugas sama. Safiq Rahim dan Baddrol Bakhtiar melengkapkan trio di tengah.
Lubnan pula turun dengan sistem 4-3-3. Pemain tumpuan mereka (juga merupakan kapten), Hassan Maatouk bermula di sayap kiri. Hassan Ali Saad dan Mohamad Haidar melengkapkan trio serangan Lubnan yang perlu diawasi oleh Khairul Helmi, Shahrom Kalam, Nazirul Naim dan Rizal Ghazali.
Malaysia kuasai perlawanan
Ketika dalam sidang pra-perlawanan, ketua jurulatih Lubnan Miodrag Radulovic memberitahu keputusan seri di Larkin ini adalah keputusan yang baik untuk Lubnan. Dengan gaya mereka memulakan 45 minit pertama, ternyata memang benar misi mereka malam ini adalah 1 mata sahaja.
Tanpa tekanan kepada permainan build-up Malaysia, Lubnan jelas lebih selesa menyerap serangan pasukan tuan rumah sebelum melancarkan serangan balas – terutamanya kepada Mohamad Haidar dan Hassan Maatouk di sayap kanan dan kiri.
Dengan Mahali Jasuli dan Syazwan Zainon kedua-duanya mengisi ruang separa (half space) padang dan membiarkan Rizal Ghazali dan Nazirul Naim mengekalkan keluasan (width), pengaruh dan input Tan Cheng Hoe nampak ketara dalam taktikal Malaysia. Ia adalah taktikal sama yang digunakan oleh Kedah dalam Liga Super musim ini.
Bagaimanapun kualiti Malaysia mengekalkan penguasaan bola di kawasan Lubnan masih boleh dipersoal. Syazwan, Hazwan dan Mahali jelas bergelut menyimpan bola ketika diberi tekanan.
Ini memberi Lubnan peluang untuk merampas bola dan seterusnya melancarkan serangan balas.
Buktinya pada minit 15′ larian serangan balas Maatouk memaksa Shahrom Kalam untuk menjatuhkan kapten Lubnan tersebut – seterusnya dihadiahkan kad kuning.
Kesilapan sama turut membuahkan peluang serangan balas dan rayua sepakan penalti kepada Lubnan pada minit ke-23, 25, 28 dan 37′, tetapi pertahanan Malaysia cekal bertahan.
2 pemain pinggiran cipta nama
Sebelum perlawanan, kemasukan Amirulhadi Zainal dan Mahali Jasuli dalam kesebelasan utama kuat dikritik oleh peminat. Tetapi dalam perlawanan ini, dua nama ini yang menjadi perhatian.
Amirulhadi bukan sahaja menggalas tugas no.6 dengan baik, malah turut beberapa kali menampilkan persembahan defensif yang mungkin membuatkan Karl Heinz Weigang – bekas ketua jurulatih Harimau Malaya era 80-an yang diberi penghormatan sebelum perlawanan – bangga.
Mahali yang senyap dalam majoriti perlawanan muncul hero pada minit 43′ selepas menjaringkan gol pembukaan perlawanan.
Berikutan kesilapan Mehdi Kahlil yang gagal menangkap kemas hantaran lintang kiri yang awal dari Syazwan, Mahali bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk membuatkan 6,850 penyokong Malaysia di Stadium Tan Sri Dato Hj. Hassan Yunos bersorak gembira.
Malaysia 1-0 Lubnan.
Lubnan garang selepas rehat
Selepas rehat, Lubnan mengeluarkan Mohamad Haidar dan memasukkan Rabih Ataya yang lebih baik fizikalnya. Beberapa kali Lubnan mengetuk pintu pertahanan Malaysia, tetapi kita liat bertahan meskipun Khairul Azhan 3 kali menunjukkan permainan gugup dalam masa 15 minit.
Hantaran-hantaran Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim juga beberapa kali tersasar. Ini membuatkan Lubnan lebih galak menyerang. Peluang tandukan Hilal Al Helwe yang masuk menggantikan Hassan Ali Saad pada minit 63 adalah contohnya.
Pada minit 71′ Lubnan mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan. Ketika Azhan sudah ditewaskan oleh rembatan jarak jauh Nader Matar yang terkena tiang, Hilal pula gagal menyudahkan peluang terhidang di depan gol. Satu Malaysia menghela nafas lega.
Malaysia keletihan dan bertahan
Dengan Malaysia yang jelas kelihatan semakin letih dan keletihan, Lubnan cuba menyerang Malaysia melalui penyerang sayap kiri dan kanan mereka.
Strategi itu berhasil apabila pada minit 79′, Rabih Ataya mengejutkan seluruh stadium dengan percubaan spekulatif jarak jauh dari sayap kanan. Azhan yang langsung tak menyangka percubaan tersebut hanya mampu melihat bola menerjah ke jaringnya.
Lubnan terus menguasai perlawanan selepas itu. Malaysia yang jelas nampak keletihan hanya mampu bertahan. Pada minit ke-90′ Rabih Ataya meranapkan impian Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya satu mata apabila menjaringkan gol kemenangan Lubnan.
Pemain terbaik perlawanan: Rabih Ataya
Malaysia: Khairul Azhan (GK), Rizal Ghazali, Shahrom Kalam, Khairul Helmi, Nazrul Naim, Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar (Afif Amiruddin), Safiq Rahim (K), Mahali Jasuli (Azamuddin Akil), Syazwan Zainon (Amri Yahyah), Ahmad Hazwan
Lubnan: Mehdi Kahlil (GK), Mohamad Zein, Mootaz Bellah (Abu Bakar Al Mel), Nour Mansour, Nassar Nassar, Haytham Faour, Samir Ayass, Nader Matar, Hassan Maatouk (K), Mohamad Haidar (Rabih Ataya), Hassan Ali Saad (Hilal Al Helwe)