Dalam bola sepak, aspek persediaan perlawanan adalah perkara yang paling penting. Namun, tidak dinafikan setiap pengurus akan menggunakan pendekatan yang berbeza-beza.
Berikut adalah antara 3 aspek asas yang kerap diambil kira oleh mereka dalam memastikan mereka menghantar pasukan terbaik dan cergas atau ‘sihat sepenuhnya’.
1. Pemilihan Pemain
Pemilihan pemain biasanya disaring dari segi teknikal. Pengurus atau jurulatih seperti komputer yang sudah tahu bila mereka akan kehilangan pemain mereka.
Misalnya setiap kali pemain utama mereka mengutip kad kuning yang membuatkan mereka digantung. Pengurus sudah boleh mengimbas muka apa yang akan dilakukan beliau selepas ini.
Saringan dari segi siapa boleh bermain berdasarkan senarai:
i. Status penggantungan
Melibatkan kad kuning terkumpul dan hukuman yang dikenakan oleh badan pengurusan liga.
ii. Kecergasan
Penilaian ini memerlukan jurulatih mendapat maklumat yang betul tentang status semasa pemain beliau. Berapa minit pemain ini boleh bermain?
Jika pemain ini baru cergas dan laporan pakar kecergasan menyatakan pemain ini boleh bermain 50 minit. Maka, jurulatih akan memilih mungkin akan menggunakan beliau 30 minit.
Jadi, tidak sesuai untuk meletakkan dia dalam kesebelasan utama. Jika pemain ini ada minit sekitar 70 minit. Maka pemain ini boleh bermain dalam kesebelasan utama.
Kecergasan mental turut diambil kira. Sama ada pemain tersebut sihat sepenuhnya dan bebas tekanan.
Contohnya, pemain yang baru kehilangan orang terdekat walaupun ia bukan ibu bapa mereka berhak untuk diberikan perlepasan.
iii. Prestasi Semasa
Pengurus akan memandang berat isu ini juga. Beliau akan cuba menggunakan pemain yan beraksi cemerlang untuk berada dalam perancangan pasukan.
Ia adalah satu merit untuk pemain terutama sekali pemain pilihan kedua atau ketiga untuk mendapat tempat selepas aksi cemerlang.
Ada juga pemain dipilih kerana kesesuaian taktikal di mana mereka beraksi baik dalam taktikal tersebut. Victor Moses di Chelsea misalnya.
Begitu juga Azpilcueta yang asalnya bek sisi, kini bermain setiap minggu di posisi tengah walaupun John Terry sudah cergas.
iv. Pelan Khas
Ini juga sebahagian daripada pertimbangan yang diambil kira. Ia kerap disebut pelan B ataupun C. Jadi, daripada kesebelasan utama, aspek di kerusi simpanan juga penting.
Ingat lagi bila Van Gaal memasukkan Tim Krul menggantikan Cillesen untuk penentuan penalti pada Piala Dunia Brazil? Selepas perlawanan beliau berkata, semua orang di kem Belanda sudah tahu dan tidak terkejut.
Itu bermakna ia memang sudah ada dalam perancangan.
Ada juga pemain dari kategori pelan B atau C ini yang terus diberikan tempat dalam kesebelasan utama.
Alex Ferguson dahulu ada senjata tambahan seperti Darron Gibson yang boleh melakukan jaringan dari jarak jauh jika pasukan mereka buntu.
Pelan istimewa ini juga melibatkan pemilihan jenis pemain yang pengurus mahukan untuk perlawanan akan datang.
Contohnya beliau mahukan pemain yang ada ratio hantaran lintang yang tinggi, atau ratio tandukan yang tinggi ada di dalam pasukan.
Maka pasukan kejurulatihan yang dibantu laporan statistik akan sedaya upaya menyediakan pemain tersebut.
2. Persediaan Teknikal dan Taktikal
Pemilihan pemain akan membolehkan pengurus menyediakan pasukan yang akan beraksi dalam perlawanan seterusnya. Dengan pemain yang ada, pengurus akan mengambil kira aspek potensi pasukan yang mereka akan tentang.
Latihan adalah sesuatu yang sangat penting dalam persediaan pasukan. Dalam bola sepak moden, latihan lebih kompleks. Pemain dilatih bukan sekadar secara teknikal dan taktikal.
Malah melibatkan aspek kecerdasan. Kami pernah berkongsi bagaimana Pep Guardiola menyediakan 20 zon dalam grid latihan beliau untuk pemain memahami peranan mereka dengan lebih komprehensif.
Lihat antara resepi kejayaan Nagelsmann musim ini di Hoffenheim.
Jurulatih akan mencari formula dari segi cara mereka bermain ketika bertahan dan menyerang. Ada tak potensi kelemahan lawan yang harus mereka manipulasi.
Misalnya, jika berhadapan dengan pasukan yang ada bek tengah dengan ratio bentesan lemah, maka jurulatih akan mengarahkan pemain lincah mereka untuk lebih banyak menggelecek di kawasan itu.
Ini untuk mendapatkan sepakan percuma ataupun potensi untuk bek tersebut dibuang padang.
Begitu juga, jika mereka mendapati bek sisi pihak lawan tidak cukup pantas. Mereka akan mencari pemain pantas untuk mengatasi bek tersebut. Maka berlakulah 1 atau 2 pertukaran daripada pasukan utama.
Dalam bola sepak moden, peranan penyerang yang lebih fluid dan bebas membolehkan penyerang menjejak titik lemah dalam permainan dengan satu sistem akan membantu memberikan ‘lesen’ untuk mereka bermain di situ.
Sistem ini juga bersedia untuk berubah dan mengisi ruang yang mereka tinggalkan. Hampir setiap perlawanan taktikal pasti akan berbeza berdasarkan lawan yang ditentang walaupun bermain dengan formasi yang sama.
Ada juga jurulatih akan menukar formasi dan taktikal utama mereka kerana pasukan yang mereka tentang. Ingat bagaimana Koeman cuba bermain sistem bek bertiga menentang Chelsea? Walaupun ia cuma bertahan 36 minit.
3. Saringan Akhir
Ini adalah perkara paling penting. Ia adalah fasa di mana pengurus akan menerima laporan akhir status pemain mereka.
Pada September lalu, Moyes melakukan pertukaran di saat-saat akhir walaupun pemain itu sudah didaftarkan sejam sebelum perlawanan.
Patrick Van Aanholt kehairanan dengan keputusan Moyes mengeluarkan beliau 15 minit sebelum sepak mula. Van Aanholt berkata, hanya kecederaan saat-saat akhir sahaja yang boleh mengubah kesebelasan utama pasukan.
Sehingga ke hari ini, media masih gagal mengorek alasan di sebalik keputusan Moyes. Pochettino berpendapat Moyes berbuat begitu mungkin ada sebab dan bukan mudah seorang pengurus menukar kesebelasan utama pada saat akhir.
Apa yang dimaksudkan Pochettino adalah, ia mungkin melibatkan penilaian lain seperti pemain hilang fokus dalam sesi pemanas badan.
Di Jerman kerap berlaku pengurus menukar kesebelasan utama kerana mahu mengelirukan pasukan lawan yang sudah mengkaji taktikal mereka.
Saringan akhir, pengurus akan menerima lampu hijau daripada staf seperti jurulatih kecergasan, fisio dan pembantu taktikal.
Rumusan
Jadi, bukan mudah untuk menyediakan pasukan dalam setiap perlawanan. Ia bukan melibatkan pengurus ataupun ketua jurulatih sahaja.
Penilaian (assessment) yang cekap dan telus akan membolehkan pengurus membuat keputusan terbaik untuk pasukan mereka.
Namun, keputusan akhir adalah di tangan pengurus. Mereka setakat ini masih menghormati dan percaya dengan staf sokongan mereka.
Seringkali kita dengar mereka berkata:
“Doktor pasukan mengesahkan dia kurang cergas, jadi saya terpaksa gugurkan beliau.”
Ataupun :
“Saya tidak dapat memberitahu status kecederaan beliau kerana ia bukan bidang saya. Saya menunggu laporan penuh daripada pasukan perubatan pasukan kami.”
Baca juga : Mauricio Pochettino Kecewa, Moussa Sissoko Hanya Indah Khabar Dari Rupa