‘Perkenal Import Untuk Saingan M3’- Keputusan Bijak Atau Sangat Dangkal?

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi secara rasminya memperkenalkan kuota import untuk setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini.

Menerusi perkongsian dibuat semalam, tujuan pengenalan import tersebut dibuat adalah untuk menjadikan Liga M3 atau dikenali sebagai MBSB Bank Championship 2024/2025 menjadi lebih menarik serta kompetitif sepanjang musim berlangsung.

Walaupun begitu, Yusoff menjelaskan setiap pasukan yang memiliki hasrat untuk mendapatkan import perlu mengikut garis ketetapan dibuat mereka untuk mengelak sebarang masalah berlaku.

“AFL tetapkan syarat-syarat tambahan yang lebih ketat antaranya kategori umur, deposit 6 bulan gaji yang perlu disediakan serta pengenalan syiling gaji bagi pendaftaran pemain import.”

“Setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan maksimum 2 pemain import berumur 18 hingga 21 tahun sahaja. Pemain-pemain import ini hanya boleh didaftarkan bermain di MBSB Bank Championship sehingga mereka berumur 23 Tahun sahaja.

Jika mereka betul-betul bagus, berkemungkinan ada pasukan di atas (Liga Super) akan mendapatkan khidmat mereka. Jika tidak mereka harus pulang ke negara asal,” kata beliau.

Malah, beberapa syarat lagi turut dikongsikan Yusoff menerusi media sosial rasmi AFL untuk setiap pasukan yang berkeinginan mendapatkan import pada saingan akan datang.

Walaupun dianggap sebagai inisiatif baharu menambahkan lagi kerancakan Liga M3, ianya kurang disenangi oleh para penyokong yang menganggap perkara itu mungkin akan memberi lebih masalah berbanding faedah.

Sedangkan pasukan dalam saingan Liga Super yang mempunyai jumlah tajaan lebih stabil serta bilangan penyokong sangat banyak pun tidak terlepas menghadapi isu gaji kerana terlalu mengikut selera mendapatkan import.

Kedah Darul Aman (Kedah), Negeri Sembilan, Kuala Lumpur City (KL City) menjadi bukti kepada permasalahan itu pada musim lalu dengan merekodkan masalah tunggakan gaji membebankan.

Adakah AFL tidak mengkaji masalah dihadapi kebanyakan kelab di saingan Liga Super musim lalu yang menghadapi isu tunggakan gaji?

Di saingan Liga M3, tidak semua pasukan mendapat tajaan yang besar selain mungkin konsistensi untuk mereka bertahan sehingga ke penghujung musim juga diragui.

Musim lalu menyaksikan Perlis United antara kelab di saingan M3 yang menghadapi isu pembayaran gaji dan dilaporkan sendiri melalui pemain pasukan itu walaupun mereka tidak menggunakan kuota import.

Walaupun AFL tidak mewajibkan setiap pasukan mendapatkan import, pastinya ada antara mereka merasakan ia sebagai keperluan jika setiap kelab lain mengikat kontrak kuota pemain tersebut demi mewujudkan persaingan.

Selain keraguan mengenai ketersediaan kelab untuk menyediakan dana secukupnya demi mendapatkan khidmat import, isu tenaga tempatan untuk diberi peluang beraksi juga wajar dipertikaikan.

Saingan Liga M3 sebenarnya mampu menjadi wadah terbaik buat bakat muda atau mana-mana pemain tempatan yang sebelum itu gagal menyerlah di kejohanan Liga Super untuk bersinar.

Lihat sahaja penjaring terbanyak Liga M3 musim lalu iaitu Abdul Azim Rahim yang suatu ketika kurang menyerlah di Liga Super berjaya untuk kembali bersinar dalam karier bola sepak sehingga meraih gelaran tersebut bersama Imigresen FC.

Selain itu, pemain muda lain juga semakin ramai dikenali seperti Zainul Arifin Latifi, N Javabilaarivin, Tuan Mohd Norzaiful, Syabani Saberi dan ramai lagi di eri peluang untuk menyerlah dalam saingan tersebut.

Malah, kehadiran import sebenarnya dianggap tidak perlu kerana kelibat pemain senior yang suatu ketika gah untuk Harimau Malaya serta pentas Liga Super seperti Khyril Muhymeen, Norshahrul Idlan Talaha, Firdaus Mohd Faudzi dan ramai lagi sudah cukup untuk memperkukuhkan pasukan diwakili mereka.

Kesimpulannya, keputusan untuk memperkenalkan barisan import dalam saingan M3 boleh dianggap cukup dangkal kerana ia bakal mempengaruhi belanja pasukan, peluang pemain muda untuk diberi peluang beraksi, serta mampu menutup ruang buat tonggak tempatan lain mendapat tempat.

Malah, ada kemungkinan lebih banyak pasukan mungkin terpaksa menarik diri pada saingan hadapan kerana pelbagai isu akan dihadapi sekali gus mengecilkan lagi ‘pool’ pemain tempatan untuk bersinar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN