Kebanyakan penyokong Harimau Malaya sebelum ini dilihat telah pun mempersoalkan kredibiliti Kim Pan-gon yang telah memasukkan Natxo Insa pada aksi Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia ketika menentang Bahrain, untuk menggantikan Syamer Kutty Abba.
Ini kerana Syamer dianggap telah pun menjalankan tugas beliau dengan sangat baik terutama pada aksi separuh masa pertama, selepas pemain tersebut beroperasi begitu positif selaku pemain tengah bertahan.
Natxo Insa: “Inilah Bola Sepak, Kita Bolos Pada Saat Akhir Permainan”
Syamer yang buat pertama kali beraksi di Piala Asia jelas tidak mempamerkan sebarang rasa gugup sepanjang aksi berlangsung, dengan banyak tindakan beliau berjaya menghentikan momentum lawan di tengah.
Malah, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga berjaya mengimbangi kualiti di bahagian tengah bertahan serta serangan untuk menjadikan beliau begitu mencuri tumpuan.
Namun, khidmat pemain tersebut tidak bertahan lama apabila Natxo Insa telah pun dibawa masuk pada awal separuh masa kedua untuk menggantikan khidmat Syamer.
Kemasukan Natxo jelas kurang disenangi segelintir penyokong bola sepak tempatan selepas impak dibawa pemain tersebut kurang berkesan terutama sekali dalam situasi bertahan untuk menghadapi cabaran Bahrain.
Menurut Syamer, faktor mengapa beliau dikeluarkan dengan lebih awal kerana ia merupakan percaturan taktikal telah diterapkan oleh Kim untuk berdepan pasukan lawan.
Ini kerana, Syamer sendiri telah pun mengutip kad kuning dengan lebih awal sepanjang perlawanan separuh masa pertama berlangsung dan itu memberi risiko untuk dirinya menerima buat kali kedua serta merugikan pasukan.
“Itu taktikal dan keputusan jurulatih. Saya hormati apa yang jurulatih tentukan selepas saya berikan pada 45 minit.
“Tapi mungkin sebab kesilapan mudah yang saya buat hingga dapat kad kuning. Kadang saya buat keputusan yang tidak tepat atau mungkin betul tapi inilah bola sepak.
“Tapi ini adalah benda yang baik untuk saya belajar jadi lebih baik lepas ini,” katanya menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro.
Apapun berlaku, keputusan perlawanan itu telah pun menamatkan perjalanan skuad kebangsaan untuk mara lebih jauh pada saingan Piala Asia 2023 ini di Qatar.
Ini kerana Malaysia telah pun berada di dasar peringkat Kumpulan E selepas mereka gagal mengumpul sebarang mata dan gol sepanjang mengharungi dua perlawanan.
Untuk aksi seterusnya, Malaysia bakal menghadapi cabaran Korea Selatan dan dianggap tidak akan mengubah apa-apa keputusan buat skuad kebangsaan untuk mencari peluang ke peringkat seterusnya.