Pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) Nafuzi Zain memasang tekad untuk terus mempertahankan maruah pasukan pada saingan suku akhir kedua Challenge Cup malam ini bagi berdepan Kuching City.
Kedah sebelum itu telah pun mencatat kekalahan tidak dijangka kepada Kuching City ketika aksi berlangsung di gelanggang lawan menerusi keputusan penuh 0-1 hasil jaringan tunggal Abu Kamara.
🔰 MATCHDAY 🔰
Pulun Kedah Pulun! 🔥
🏆 QF-2 | MFL Challenge Cup 2023
🆚 KDA FC (0) vs (1) Kuching City FC
📆 4 Oktober 2023, Rabu
🕖 9.00 malam
🏟️ Stadium Darul Aman📡 LIVE Astro 804 & Astro GO pic.twitter.com/gUeQBiBcQv
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 4, 2023
Keputusan tersebut menyaksikan segelintir penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan persembahan dipamerkan oleh para pemain dan menuntut Sang Kenari tampil lebih positif bagi aksi seterusnya.
Aksi malam ini pastinya memberi tekanan tinggi buat Kedah yang akan beraksi di laman sendiri untuk kembali mencari dua gol pendahuluan bagi meneruskan misi pasukan tersebut mara ke pusingan separuh akhir.
Berdasarkan momentum semasa, skuad kendalian Nafuzi kini berada dalam keadaan terbaik selepas masih segar akan kemenangan tipis 1-0 bagi saingan Liga Super lalu sewaktu mereka menewaskan Kuala Lumpur City (KL City).
Berbanding Kuching City, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu pula baru sahaja merekodkan kekalahan seterusnya dalam saingan tersebut kepada Sri Pahang menerusi keputusan penuh 2-3 di Stadium Darul Makmur.
Nafuzi kini sudah tentu memasang impian besar untuk menjulang kejuaraan pertama beliau bersama Kedah, walaupun mempunyai misi merebut tangga kedua Liga Super.
Malah, pengendali muda itu juga tidak mahu membandingkan mana-mana saingan disertai dengan beliau menyasarkan setiap kemenangan dicapai dalam perlawanan dihadapi.
“Ini perlawanan kalah mati dan kita perlu menang untuk layak seterusnya ke saingan separuh akhir selepas tewas 0-1 pada saingan suku akhir pertama di Kuching pada 19 September lalu dan mahu memastikan reputasi serta maruah pasukan dipertahankan terutama apabila beraksi di laman sendiri kali ini.
“Kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) sebelum ini juga satu motivasi yang cukup penting yang kami bawa dalam meneruskan saingan kedua dalam Piala Cabaran ini dan saya harap pemain dapat mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk aksi di laman sendiri.
“Pesanan saya agar pemain dapat beri segalanya pada aksi kalah mati ini dan saya juga harap penyokong dapat hadir memberi sokongan bagi menambahkan lagi semangat perjuangan pasukan agar dapat merasai kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan kepada para pemain supaya berhati-hati akan percaturan pasukan lawan yang mampu untuk sekali lagi melakar kejutan di SDA.
🟢🟡 JUALAN TIKET ONLINE DIBUKA 🟢🟡
🏆 QF-2 | MFL Challenge Cup 2023
🆚 KDA FC (0) vs (1) Kuching City FC
📆 4 Oktober 2023, Rabu
🕖 9.00 malam
🏟️ Stadium Darul Aman pic.twitter.com/kgpcuvCHwU— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 2, 2023
“Kami sedar dengan ketinggalan satu gol dan perlu mencari gol ke atas Kuching City selepas ini, saya berharap pemain dapat teruskan semangat dan momentum persembahan bagi mengelak dari sebarang tekanan, tidak terburu-buru dan turun dengan perancangan teliti yang ditetapkan.
“Bagi saya, penyerang utama mereka iaitu Abu Kamara yang sudah tiga kali kami berdepan adalah penyerang yang bahaya dan memiliki kemampuan menjaringkan gol termasuk melalui teknik tandukan yang bagus.
“Selain fizikal tubuh yang bagus, dia adalah antara penjaring berkualiti dan mampu melakukan jaringan jika kita tidak mengawal rapi pergerakannya. Oleh itu kita perlu berwaspada di ruang pertahanan bagi mengelak kita dibolosi lagi,” katanya akhir sekali.