Pengendali utama Kuala Lumpur City (KL CIty) iaitu Bojan Hodak bakal berdepan tugas getir seterusnya untuk aksi Liga Super 2023 untuk bertemu Terengganu di Stadium Cheras, malam ini.
KL City sebelum itu gagal memberi keputusan yang lebih baik ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas mereka diaibkan menerusi kekalahan besar 1-6 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Selain itu, KL City juga kehilangan ramai tonggak utama pada perlawanan tersebut yang menyaksikan situasi permainan jelas tidak seimbang sehingga memberi ruang besar buat lawan menguasai aksi 90 minit.
Tampil dengan aksi tidak menyakinkan, jelas pengendali kelahiran Croatia itu kecewa kepada barisan pemain yang dianggap tidak mempamerkan kesungguhan sepanjang perlawanan berlangsung.
Malah, ianya menjadi pengajaran berguna buat pasukan tersebut supaya tampil dengan lebih fokus dan tidak terleka sehingga lawan mudah mendapatkan jaringan besar hasil kesilapan tidak sepatutnya berlaku.
Untuk aksi malam ini, Hodak menegaskan kepada barisan pemain supaya mengambil iktibar atas pengalaman aksi lalu supaya tampil dengan lebih baik serta tidak terlalu santai yang akan merugikan mereka sendiri.
Jelas pengendali berpengalaman tersebut, aksi menentang Terengganu dianggap sangat penting kerana ia dapat dijadikan medan persiapan terbaik buat KL City sebelum ke pusingan akhir Piala FA 2023 berdepan JDT.
Malah, Hodak juga menyatakan beliau akan menilai bayangan kesebelasan utama terbaik pada aksi Liga Super ketika ini untuk dipilih pada perlawanan final Piala FA tidak lama lagi
“Saya mahu pemain lebih fokus dan pastikan kemenangan berpihak kepada KL City City dalam usaha menyuntik semangat menjelang aksi final Piala FA.
“Perlawanan Liga Super juga penting untuk saya menentukan siapa akan membarisi kesebelasan utama pada final kelak kerana mahu menurunkan yang terbaik untuk KL City.
“Terengganu adalah pasukan yang kuat sekali gus mampu menghalang KL City untuk membawa pulang tiga mata penting,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Untuk aksi malam ini, Hodak telah menyatakan beberapa tonggak utama yang sebelum tidak dapat dibawa turun kerana isu kecederaan kini sudah pun pulih dan sedia untuk beraksi menentang Terengganu.
Bintang seperti Paulo Josue pastinya menjadi tumpuan utama buat KL City dalam usaha mereka untuk mendapatkan jaringan serta memastikan kemenangan dicatat di laman sendiri bagi mengetepikan cabaran Sang Penyu.