Segala kemelut yang melanda penyerang Kelantan, Nurshamil Abd Ghani dilihat bakal menemui titik kesudahan lebih baik, selepas pemain tersebut kini mengadakan perbincangan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Pertemuan yang diadakan semalam itu tidak dinyatakan sebab sebenar, namun ramai menjangkakan ianya lebih kepada membincangkan isu antara Nurshamil bersama pihak pengurusan Kelantan.
Malah, pertemuan tersebut turut dikongsikan sendiri oleh media sosial mereka dengan menyaksikan Presiden, Safee Sali bersama Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif, serta Eksekutif Perundangan iaitu Syafiq Jebat yang mengadakan perbincangan bersama Nurshamil.
Sebelum itu, kemelut mula melanda membabitkan Nurshamil bersama Kelantan, selepas pengurusan kelab tersebut dilaporkan meminta RM50,000 kepada mana-mana pemain mereka yang ingin menamatkan kontrak dengan lebih awal.
Malah ianya didedahkan sendiri oleh Nurshamil menerusi Instagram beliau semalam serta turut dikongsikan laman bola sepak, Palatao Bola dan mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan.
Selain membuat pendedahan tersebut, Nurshamil turut menyatakan kelab tidak lagi membayar wang bonus kemenangan mereka ke Liga Super selain tiada pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Untuk rekod, Nurshamil sudah pun menabur bakti bersama Kelantan sejak musim 2021 dan menjadi antara tulang belakang penting untuk membawa pasukan itu mara ke saingan Liga Super 2023.
Isu yang melanda Kelantan ini bukan lagi sesuatu yang baharu setelah pasukan itu terpalit dengan pelbagai isu sejak awal musim pertama mereka dalam saingan Liga Super.
Selain membabitkan prestasi permainan yang tidak seperti diharapkan oleh para penyokong, pasukan ini juga tampil bermasalah pada bahagian pengurusan seperti pembayaran gaji disekat.
Ketika ini, boleh dikatakan ramai pemain Kelantan lain sudah pun menamatkan kontrak lebih awal bersama pasukan tersebut dan situasi semasa dijangka lebih ramai bintang utama akan membuat perkara sedemikian.
Malah import Kelantan juga sudah pun menamatkan kontrak mereka dengan lebih awal dan terbaharu Nuha Marong antara yang sah sudah pun berpisah dengan kelab tersebut.
Walaupun begitu, pengurusan Kelantan telah pun membuat kenyataan rasmi untuk menjawab isu tuntutan pembayaran tersebut di laman Facebook rasmi mereka.
Apapun, pastinya para penyokong Kelantan mengharapkan segala kemelut berlaku ini dapat diselesaikan dalam masa segera demi memulihkan kembali nama baik bola sepak negeri mereka.