Pengurusan Kelantan ‘Buka Mulut’ Isu Tuntutan RM50,000 Kepada Nurshamil Ghani

Pengurusan Kelantan The Red Warriors (TRW) akhirnya tampil membuat kenyataan bagi menjawab persoalan ramai pihak mengenai tuntutan pembayaran RM50,000 jika ingin menamatkan kontrak.

Sebelum itu, perkara ini didedahkan sendiri oleh pemain mereka iaitu Nurshamil Abd Ghani menerusi Instagram serta mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan.

Selain membuat pendedahan tersebut, Nurshamil turut menyatakan kelab tidak lagi membayar wang bonus kemenangan mereka ke Liga Super selain tiada pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Untuk rekod, Nurshamil sudah pun menabur bakti bersama Kelantan sejak musim 2021 dan menjadi antara tulang belakang penting untuk membawa pasukan itu mara ke saingan Liga Super 2023.

Jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Kelantan TRW itu, Nurshamil merupakan aset penting kepada pasukan dan pemain tersebut masih mempunyai baki kontrak sehingga 2024.

Malah, mereka juga menyatakan kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi iaitu bersamaan nilai gaji untuk baki kontrak emain tersebut.

“Pihak TRW Kelantan FC ingin mengulas berkenaan isu tular tuntutan pihak Kelab kepada pemain bernama NURSHAMIL BIN ABDUL GHANI berjumlah RM50,000.00 untuk penamatan yang disensasikan oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan perspektif negatif kepada Kelab.

“Untuk makluman pihak Kelab telah menerima permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama daripada Pemain tersebut yang memohon bulan Mei 2023 sebagai bulan terakhir bersama Kelab.

“Pemain tersebut adalah salah seorang pemain yang penting dan berpengaruh di dalam pasukan dan adalah figura penting kepada kelab sejak 2 musim sebelum ini dimana beliau telah meraih gelaran penjaring terbanyak tempatan untuk dua musim berturut-turut.

“Atas persembahan cemerlang dan memberangsangkan beliau, Kelab juga telah memberikan penghargaan kepada beliau dengan bersetuju memberikan kenaikan gaji kepada beliau.

“Berdasarkan populariti dan reputasi yang dicapai oleh Pemain tersebut bersama Kelab juga kepentingan beliau di dalam pasukan, dan lebih penting pelaburan yang telah Kelab belanjakan untuk pembangunan prestasi dan kebolehan bola sepak beliau, pihak Kelab merasakan adalah tidak wajar untuk melakukan penamatan kontrak beliau secara bersama tanpa sebarang kompensasi kepada Kelab.

“Untuk pengetahuan, Pemain tersebut mempunyai baki kontrak sehingga November 2024.

“Dalam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, Kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut.

“Dalam kes ini, pemain tersebut masih mempunyai lapan belas (18) bulan (Jun 2023 – November 2024) baki tempoh kontrak lagi.

“Sungguhpun begitu, sebenarnya nilai RM50,000 yang dituntut tersebut adalah hanya lebih kurang separuh sahaja daripada nilai baki kontrak yang berhak dituntut oleh Kelab.

“Ini sebenarnya menunjukkan betapa Pemain tersebut adalah bernilai dan penting kepada Kelab dimana kepergian beliau bakal merencatkan persiapan Kelab untuk pusingan kedua liga,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, pihak pengurusan Kelantan TRW juga mengakui mereka sentisa menghormati segala keputusan dibuat oleh setiap pemain yang ingin meninggalkan kelab.

Namun, pihak kelab juga menyatakan mereka berada dalam kerugian selepas pemain yang dibentuk begitu lama akan meninggalkan kelab begitu sahaja tanpa sebarang kompensasi.

“Pihak kelab sentiasa menghormati keputusan setiap pemain dalam perkara ini, namun pelaburan pihak kelab dalam pembangunan pemain juga perlu diambil kira dimana Kelab pastinya mengalami kerugian sekiranya pemain yang disemai dan dibangunkan hanya perlu semudah meminta penamatan bersama tanpa kompensasi dan kemudiannya bebas memasuki Kelab lain untuk meraih manfaat yang lebih tinggi.

“Budaya ini pastilah merugikan Kelab sedangkan Kelab ini yang mengasah dan membangunkan bakat Pemain tersebut tidak menerima sebarang manfaat daripada pemindahan pemain yang dibangunkan tersebut.

“Nilai RM50,000.00 itu bukanlah suatu nilai muktamad dan Kelab masih terbuka kepada rundingan untuk mencapai penamatan secara persetujuan bersama dalam keadaan baik dan harmoni yang memberikan keuntungan kepada semua pihak.

“Pihak Kelab berharap penjelasan ini adalah jelas dan semua pihak berhenti mensensasikan isu ini,” kata wakil kelab akhir sekali.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN