Kelibat pemain naturalisasi negara, Paulo Josue antara sangat mencuri tumpuan ketika ini dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, selepas beliau tampil begitu cemerlang sejak dua perlawanan lalu bersama pasukan kebangsaan.
Musim ini segalanya tampak begitu baik buat Josue, selepas beliau sah didaftarkan sebagai warga tempatan dan diberi peluang oleh Kim Pan-gon untuk beraksi buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
GOOLLL!!!
Paulo Josue 70'⚽️ MALAYSIA 🇲🇾 7-0 🇵🇬 PAPUA NEW GUINEA#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/PHfXPY1WMY
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 20, 2023
Nyata segalanya berbaloi selepas Josue tampil membalas kepercayaan diberikan itu menerusi aksi cukup cemerlang di posisi tengah menyerang untuk bergandingan dengan mana-mana rakan sepasukan yang lain.
Untuk dua aksi persahabatan baru-baru ini berdepan Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea, Josue diberi peluang untuk beraksi selaku penyerang utama negara setelah Shahrel Fikri mengalami kecederaan.
Hasilnya, pemain ini cemerlang meledak empat gol daripa dua perlawanan tersebut, termasuk hatrik pertama Josue bersama Harimau Malaya untuk melakar sejarah kemenangan kedua terbesar untuk Malaysia.
Tampil dengan corak permainan yang konsisten serta kreatif di bahagian atas, Josue boleh dianggap sebagai aset terbaik buat Kim sebelum mereka melangkah ke pentas Piala Asia.
Sekembalinya bersama Kuala Lumpur City (KL City) selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan, pemain kelahiran Brazil ini mengakui sedia diturunkan sebagai penyerang untuk perlawanan seterusnya bertemu Terengganu.
KL City bakal menghadapi aksi separuh akhir Piala FA 2023 pada Ahad ini untuk bertemu Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak untuk mencari slot ke pusingan akhir.
Jelas Josue, beliau kini bersedia untuk turun selaku penyerang utama KL City jika dan tiada masalah untuk menggalas tugas baharu itu walaupun sebelum ini beraksi sebagai pemain tengah menyerang.
“Sebenarnya saya lebih selesa beraksi di posisi tengah dan bertindak membantu penyerang sebagaimana ketika bermain bersama KL City.
“Bagaimanapun jika jurulatih (Bojan Hodak) mahukan saya bermain di jentera serangan menentang TFC pada Ahad ini, ia tiada masalah besar, saya sedia menggalas tugasan baharu itu.
“Lagipun saya sudah menjaringkan empat gol ketika bermain dua perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan, baru-baru ini.
“Tapi, saya percaya jurulatih ada strateginya yang tersendiri berdepan TFC, ia bergantung kepada corak permainan dimahukannya lebih-lebih lagi menentang TFC yang mempunyai pemain berkualiti selain taktikal serta beraksi di tempat lawan,” jelas Josue menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, pemain tersebut juga menjangkakan aksi sukar bakal dihadapi oleh beliau bersama rakan sepasukan lain, namun Josue tetap mempunyai hasrat untuk membawa mereka mara ke final.
“Ia pasti perlawanan sukar, namun impian saya mahu bawa pasukan ke pentas final,” kata Josue lagi.